Pergerakan Pemuda Umno Selangor akan mengadakan perhimpunan orang Melayu yang lebih besar jika komposisi jawatan exco kerajaan negeri itu tidak mengendahkan tuntutan pergerakan itu supaya mengikut nisbah 60 Melayu dan 40 bukan Melayu.
Ketuanya, Abdul Syukur Idrus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang berkata, Pemuda Umno Selangor tidak akan membiarkan nasib orang Melayu menjadi lebih buruk di bawah kepimpinan kerajaan baru.
Katanya, perhimpunan tersebut akan merupakan lanjutan kepada perhimpunan semalam yang dihadiri hampir 1,000 orang, membantah tindakan kerajaan negeri untuk memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Menurut Abdul Syukur, Pemuda Umno dan orang Melayu lain perlu memandang berat mengenai isu tersebut kerana ia ada kaitan dengan masa depan mereka.
Perhimpunan semalam yang diadakan di di Dataran Shah Alam, turut disertai 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk persatuan belia dan silat.
Menteri Besar Selangor yang baru, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hari ini, barisan exco negeri akan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah di Klang Isnin ini.
‘Tak payah upah’
"Semangat orang Melayu untuk menyertai perhimpunan tersebut amat memberangsangkan, tidak payah upah, mereka datang sendiri,” tambah Abdul Syukur lagi.
"Semasa Umno menjadi kerajaan negeri dahulu, mereka kena upah baru datang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam perhimpunan semalam, mereka turut menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor. Ia diterima oleh setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.
Memorandum itu antara lain mendesak Abdul Khalid supaya tidak mengingkari perintah Sultan Selangor berhubung jawatan timbalan menteri besar.
Memorandum itu juga menggesa agar wakil bukan Melayu tidak dilantik sebagai timbalan menteri besar, manakala komposisi ahli exco hendaklah mengikut nisbah 60 peratus Melayu dan 40 peratus bukan Melayu.
Memorandum itu juga mengecam pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang dituduh telah "menghina ketuanan Melayu".