Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mewajibkan semua menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta masing-masing dua tahun sekali.
Beliau berkata, kaedahnya akan ditentukan kelak dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan diminta membantu menyediakan borang pengisytiharan.
Ditanya bagaimana rakyat hendak menentukan sama ada pengisytiharan itu benar atau sebaliknya, Abdullah berkata:
"Akan ada tandatangan, ada saksi dan pesuruhjaya sumpah. Kita nak buat, kita buat betul-betul."
Di samping itu, lapor Bernama , Abdullah juga mahu anggota kabinet memberi perhatian kepada isu-isu yang timbul dalam pilihanraya umum lepas termasuk soal inflasi, jenayah, masalah sosial dan pelaksanaan dasar dan projek kerajaan.
"Saya bagi tahu mereka saya dah janji pada rakyat, penggal ini usaha-usaha akan ditumpukan untuk melaksanakan dasar dan projek pembangunan negara dengan lebih baik dan mempunyai impak kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata banyak dasar yang telah ditentukan adalah baik dan mendapat sambutan daripada rakyat serta swasta.
"Dasar-dasar tersebut mesti diteruskan terutamanya yang mesra swasta dan pelabur," kata Perdana Menteri.
Kepada menteri yang tidak dilantik semula, Abdullah mengucapkan terima kasih dan berkata: "Tiada siapa dibuang atau diketepikan. Kita beri laluan kepada muka-muka baru."
Ketika ditanya mengenai dakwaan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ada beberapa ahli parlimen BN ingin menyertai pakatan pembangkang dan langkah ini boleh menumbangkan kerajaan persekutuan yang diketuai BN, Abdullah berkata: "Biarlah apa dia nak kata."
"Kenapa pula kerajaan akan tumbang? Ini adalah kerajaan yang sangat kuat.
"Kita mendapat sokongan. Kita tidak beli orang," katanya sambil menambah beliau sedar ada cubaan pembangkang untuk memikat ahli parlimen BN.