Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun PAS sertai j/kuasa exco Perlis
Diterbitkan:  Mar 19, 2008 8:04 PM
Dikemaskini: 3:05 PM

Dalam satu langkah yang dianggap memecah tradisi kerajaan negeri BN, wakil rakyat tunggal PAS di Perlis akan dilantik menganggotai salah sebuah jawatankuasa exco kerajaan negeri.

mat isa sabu md isa sabu Menteri Besar Perlis yang baru, Datuk Dr Md Isa Sabu berkata beliau telah mengundang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kawasan Simpang Empat, Rus'seli Eizan, untuk menyertai portfolio tertentu sebagai anggota jawatankuasa.

Sementara itu, Rus'seli berkata beliau sedia untuk memberi pandangan kepada kerajaan melalui portfolio yang ditawarkan kepadanya kelak demi kepentingan negeri dan rakyat.

Rus'seli adalah antara 5,000 orang yang hadir menyambut kepulangan Dr Md Isa dari Putrajaya pagi Isnin lalu.

Dr Md Isa mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada sebelah petangnya.

Sebelum itu, Perlis dilanda kemelut pemilihan menteri besar, apabila Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dilantik semula ke jawatan tersebut.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, BN Perlis menang ketiga-tiga kerusi parlimen dan 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebelum itu, menteri besar mengumumkan tujuh anggota exco kerajaan negeri Perlis yang kesemuanya terdiri daripada muka baru.

Shahidan tidak hadir

Menurut Bernama , mereka terdiri Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail (Adun Pauh), Sabri Ahmad (Santan), Ahmad Bakri Ali (Kayang), Abdul Jamil Saad (Sena), Mat Rawi Kassim (Beseri), Jafperi Othman (Guar Sanji) dan Yip Sun Onn (Titi Tinggi).

Mereka mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau hari ini, dengan disaksikan juga oleh Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Md Isa.

Kesemua anggota dewan negeri Perlis hadir ke majlis itu kecuali bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Adun Tambun Tulang.

Shahidan tidak menghadiri majlis mengangkat sumpah Md Isa sebagai menteri besar pada Isnin lalu.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Md Isa berkata, beliau akan mempengeruskan portfolio pentadbiran, kewangan, perancangan, keselamatan dan pembangunan luar bandar.

Syed Razlan mempengerusikan portfolio pelaburan, perdagangan dan industri; Sabry (Pertanian dan Industri Asas Tani), Ahmad Bakri (Pelancongan dan Kesihatan); Abdul Jamil (Belia, Sukan, Kebudayaan, Kesenian, Sumber Manusia dan Perpaduan); Mat Rawi (Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Penguatkuasaan); Jafperi (Agama Islam dan Pembangunan Hadhari) dan Yip (Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bandar Baru).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS