Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak berminat dilantik sebagai menteri kabinet selagi bapa mertuanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

"Saya tidak akan menyertai pentadbiran selagi Pak Lah jadi Perdana Menteri," katanya kepada media selepas mesyuarat exco pergerakan itu petang ini.

Tambahnya, beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri sebelum hari penamaan calon lagi dan Abdullah bersetuju.

khairy jamaluddin 090305 Khairy, yang menang di Rembau dalam pilihanraya umum baru-baru ini, tidak tersenarai dalam barisan kabinet yang diumumkan tengah hari tadi.

Sebagai pemegang jawatan kanan Pemuda Umno, ahli politik muda yang bercita-cita tinggi ini dijangka tersenarai sama ada sebagai menteri atau timbalan.

Jawatan setiausaha parlimen kali ini dimansuhkan bagi mengecilkan jumlah kabinet baru Abdullah - sekarang berjumlah 68 orang berbanding 90 orang pada penggal lepas.

Khairy berkata beliau sedia berkhidmat sebagai penyokong kerajaan di Dewan Rakyat untuk menghadapi pembangkang.

"Saya mahu berperanan sebagai anggota parlimen biasa," katanya.

Mengulas tuduhan beliau punca ketewasan BN, Khairy menjawab ia menjadi tanggungjawab bersama dan sebab kekalahan itu akan dikaji.

"Saya tak kisah kalau orang tuduh macam-macam. Yang penting bagaimana nak bina parti.

"Kalau didapati bahawa khidmat saya tak perlu dalam parti maka kita akan ada pemilihan parti tak lama lagi, biarlah pemilihan tentukan masa depan pemimpin Umno."

"Tapi saya tak akan lari daripada tanggungjawab sebagai naib ketua Pemuda Umno."

"Jika mereka (perwakilan) mahukan khidmat saya, saya akan teruskan," katanya, yang sering dikatakan berhasrat mengetuai pergerakan itu dalam langkah ke puncak kepemimpinan negara.

mahathir mohamad 06 Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mendakwa Khairy antara punca BN tewas teruk apabila Abdullah mendengar nasihat daripadanya, dan mengabaikan beberapa pandangan termasuk hasil risikan polis Cawangan Khas.

"Saya fikir menantunya (Khairy) ada peranan besar.

"Anak muda ini yang tidak pernah mencapai apa-apa sebelumnya tetapi jelas Perdana Menteri lebih bersedia mendengar daripadanya berbanding polis, anggota Cawangan Khas dan angkatan tentera, yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi.

"Mereka terlalu percaya pada laporan akhbar mereka sendiri sehingga mereka tidak dapat mendengar (sumber-sumber) yang lain. Mereka membuang apa sahaja yang mereka tidak gemar," kata Dr Mahathir sehari selepas pilihanraya umum 8 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS