PKR bertegas menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang didakwanya hanya memanfaatkan elit politik tertentu dengan dasar ekonomi yang baru - Agenda Ekonomi Malaysia (AEM).
Walaupun terpaksa berdepan bantahan Umno, PKR berjanji akan meneruskan AEM yang mempunyai lima matlamat besar:
- melaksanakan kaedah pengagihan semula kekayaan secara adil, seimbang dan sama rata,
- memerangi rasuah, kronisme dan nepotisme,
- dasar afirmatif yang memihak kepada kumpulan miskin
- menyalurkan kekayaan negara untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan yang lebih baik,
- meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali berkata dasar-dasar AEM ini telah diperkenalkan beberapa tahun lalu lagi oleh penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga bekas menteri kewangan, melalui ucapan, artikel dan janjinya untuk pilihanraya umum 8 Mac lalu.
"(DEB) selama ini telah banyak disalahgunakan oleh segelintir pemimpin dan kroni dalam Umno dan BN bagi merompak kekayaan negara ini demi kekayaan mereka sendiri atas nama Melayu keseluruhannya," kata Dr Syed Husin dalam satu kenyataan hari ini.
"Ia mendorong amalan pilih kasih yang bercanggahan dengan semangat keadilan dan sama rata untuk semua rakyat Malaysia, khususnya golongan miskin, terpinggir dan tidak bernasih baik dalam semua kaum."
Menurut Anwar, AEM yang menjadi tonggak janji-janji pilihanraya PKR boleh dilaksanakan di peringkat negeri untuk mengurangkan dasar-dasar afirmatif berasaskan kaum seumpama DEB dan sekali gus melaksanakan sistem berasaskan merit dan lebih berdaya saing.
"Ini akan meningkat segera pelaburan asing, menambahbaik perolehan cukai negeri dan mempromosikan keadilan dan kesamaan pendapatan," katanya dalam satu kenyataan awal minggu ini.
Beliau, yang juga bekas timbalan perdana menteri, menambah "kita akan menunaikan janji kita untuk melindungi masyarakat dari setiap kaum daripada terus terpinggir."
Anwar sering menjadi sasaran Umno berhubung isu hak-hak Melayu khususnya sejak pakatan PKR, DAP dan PAS berjaya menumbangkan empat lagi kerajaan negeri, selain berjaya mengekalkan Kelantan.
Beliau juga dijadikan sasaran kecaman Umno susulan kenyataan ketua menteri baru Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mendakwa negeri itu - yang kini ditadbir kerajaan campuran DAP-PKR - tidak akan melaksanakan lagi DEB yang membiakkan rasuah danpilih kasih.
Semalam penyokong Umno menganjurkan demonstrasi, satu di pulau mutiara itu dan satu lagi Selangor bagi membantah usaha menggantikan DEB.
Dr Syed Husin berkata, media yang dikawal kerajaan BN cuba memberikan gambaran bahawa PKR tidak mempunyai program untuk membasmi kemiskinan orang Melayu.
"Kami ingin menekankan bahawa satu dasar yang memberikan kelebihan kepada semua rakyat Malaysia yang miskin, terpinggir dan tidak bernasib baik tanpa mengira kaum akan memberi lebih manfaat kepada orang Melayu, kerana mereka paling ramai dalam golongan termiskin," tambahnya.
Sementara itu, kerajaan Pulau Pinang hari ini berjanji tidak akan melaksanakan sebarang dasar yang merugikan penduduk negeri itu, kata Lim.
Sambil menegaskan tiada pihak yang akan disisihkan, Lim berkata kerajaan pimpinannya akan mengagihkan kekayaan negeri kepada seluruh penduduk.
Ditanya mengenai isu dasar ekonomi kontroversi itu, Lim berkata: "DEB tidak ada isu langsung.
"Sekarang kita hanya nak buat tender terbuka. Kalau ini pun dianggap sebagai isu, apa yang boleh saya buat."