Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Jangan demo di istana Perak
Diterbitkan:  Mar 13, 2008 1:34 PM
Dikemaskini: 3:06 PM

Polis Perak hari ini memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan terpengaruh dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyeru "orang Melayu" berhimpun di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang ini bagi membantah DAP.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan kerana tiada sebarang permit atau permohonan diluluskan bagi perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata mana-mana individu atau pertubuhan yang menganjurkan perhimpunan berkenaan akan dikenakan tindakan.

"Polis akan mengambil tindakan ke atas mereka yang mengadakan perhimpunan di mana juga kerana ia akan mendatangkan keadaan yang tidak baik," katanya ketika dihubungi Bernama di pejabatnya hari ini.

Beliau mengulas mengenai SMS yang menyeru orang Melayu menyertai perhimpunan raksasa di Istana Iskandariah bagi menyatakan bantahan terhadap DAP "kerana mencabar ketuanan Melayu".

Zulkefli berkata mereka yang menyebar SMS tersebut juga akan diambil tindakan.

Istiadat angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10 dijadualkan berlangsung di Istana Iskandariah pada jam 4 petang ini.

Sejak selesai pilihan raya umum Sabtu lepas hingga sekarang, Zulkefli berkata tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku di Perak dan orang ramai menjalankan kegiatan harian mereka seperti biasa.

Anggota polis juga seperti biasa menjalankan rondaan di seluruh negeri dan hanya berkawal di kawasan kediaman Menteri Besar dan Bangunan Perak Darul Ridzuan sehingga kerajaan baru dibentuk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS