Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang bantah Nizar MB Perak...
Diterbitkan:  Mar 12, 2008 8:06 PM
Dikemaskini: 4:26 PM

kemaskini 12:23am Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP tidak akan menghadiri majlis mengangkat sumpah menteri besar Perak yang dijadualkan diadakan esok.

Bantahan ini ditegaskan oleh tokoh besar DAP Lim Kit Siang kerana jawatankuasa eksekutif pusat parti itu tidak merestui pemilihan Adun PAS di Pasir Panjang, Mohamad Nizar Jamaludin, sebagai menteri besar Perak.

Sebaliknya, kata Lim, parti itu bersedia untuk menerima pelantikan pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham (Adun Setiawan) atau Jamaluddin Mohd Radzi (Adun PKR Behrang) sebagai menteri besar Perak.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Lim berkata jawatankuasa pusat DAP telah merestui penubuhan kerajaan campuran di Perak yang diketuai oleh DAP atau PKR, dan bukannya oleh PAS.

Sebelum ini, Mohamad Nizar berkata perkenan Sultan itu dimaklumkan kepadanya oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah Azlan Shah yang menerima rombongan pemimpin ketiga-tiga parti itu mengadap di Istana Kinta jam 5 petang tadi.

Bercakap kepada pemberita di perkarangan Istana Kinta, Nizar berkata Ngeh, 47, akan dilantik sebagai timbalan menteri besar I.

Manakala jawatan timbalan menteri besar II akan diumumkan kemudian, bagi mewakili masyarakat India di Perak.

Sementara itu, Lim berkata, keputusan untuk melantik Mohamad Nizar dari PAS sebagai menteri besar Perak "telah mengejutkan dan membingungkan pemimpin, ahli dan penyokong DAP."

Katanya, dalam mesyuarat tergemparnya di Pulau Pinang pada Ahad lalu, jawatankuasa pusat DAP merestui penubuhan kerajaan campuran Perak yang terdiri daripada 18 Adun DAP, tujuh PKR dan enam PAS.

Selain nama Nizar, PAS, DAP dan PKR semalam mengemukakan nama Ngeh, 47, dan Jamaluddin yang juga bendahari PKR Perak.

Sementara itu, sebagai reaksi segera terhadap kenyataan Lim itu, Nizar berkata beliau enggan memberi sebarang komen.

"Kami percaya, sebagai sebuah kerajaan campuran, semua keputusan dibuat secara bersama.

"Kita tidak akan menjawab sebarang komen yang dibuat di luar kerajaan campuran," katanya kepada Malaysiakini .

Sebelum ini, Ngeh telah memberitahu wartawan bahawa ketiga-tiga parti tersebut akan menghormati keputusan Sultan Perak memilih calon menteri besar dan akan bekerjasama menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Sementara itu, dalam kenyataannya kepada media rasmi PAS Harakahdaily.net lewat malam ini, Mohamad Nizar dilaporkan meminta semua pihak menghormati keputusan yang telah diputuskan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung itu tersebut.

"Tuanku telah meneliti senarai nama calon yang dihantar, dan hari ini Tuanku telah memberi perkenan untuk melantik saya sebagai Menteri Besar. Oleh itu, setiap kaum perlu menghormati keputusan dari istana," ujar beliau.

Menurut laporan itu lagi, Mohamad Nizar berkata pemimpin tiga parti tersebut berjanji untuk akur dengan keputusan Sultan Perak.

"Saya minta rakyat bertenang dan tidak terpengaruh dengan sistem pesanan ringkas (SMS) sejak dua tiga hari kebelakangan ini.

"Kita minta rakyat negeri ini menerima peralihan kuasa dengan baik dan tidak cuba mencetuskan perkara-perkara yang boleh memburukkan suasana," beliau dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS