'Abdullah tiada niat lepas jawatan'
Mac 9, 08 5:40pm
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak bercadang melepaskan jawatan, kata seorang jurucakapnya hari ini, walaupun BN mengalami ketewasan besar dan memalukan dalam sejarah.

"Beliau tidak berhasrat melepaskan jawatannya," kata Kamal Khalid kepada agensi berita AFP, walaupun beliau akui perdana menteri "terkejut" dengan kekalahan besar-besaran itu.

"Beliau sebenarnya menerima agak banyak sokongan daripada pemimpin-pemimpin kanan parti dan beliau akan mengangkat sumpah sebagai PM esok," tambahnya.

Abdullah kini berdepan desakan untuk meletakkan jawatan selepas BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi kali pertama sejak 1969 dan terpaksa melepaskan empat lagi negeri kepada pakatan pembangkang.

"Perdana Menteri terperanjat dengan ketewasan itu semalam, tetapi begitu pun, walaupun kerajaan tidak mendapat majoriti dua pertiga, ia (keputusan) memang hampir-hampir dan BN masih boleh membentuk sebuah kerajaan," tegas jurucakap itu lagi.

Sementara itu pemimpin-pemimpin kanan Umno telah berkumpul di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bagi menyatakan kesediaan berdiri di belakangnya.

Menurut satu laporan, para pemimpin Umno yang dilihat berada di Seri Perdana termasuklah timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Idris Jusoh (menteri besar Terengganu), Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (ketua Pemuda), Datuk Seri Shahrizat Jalil, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob, Datuk Mohamed Khaled Nordin, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (ketua penerangan), Datuk Seri Mohamad Hassan (menteri besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Rafidah Aziz.

Abdullah bagaimanapun dikecam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melepaskan jawatan itu kepada Abdullah pada 2003 selepas dua dekad mengepalai Umno dan BN.

"Pada pendapat saya, beliau telah merosakkan Umno, memusnahkan BN dan beliau mesti bertanggungjawab," kata Dr Mahathir kepada wartawan hari ini.

Beliau mencadangkan Abdullah meletakkan jawatan, dan menambah beliau telah tersilap melantik bekas timbalanya itu sebagai perdana menteri.

"Saya fikir beliau harus menerima tanggungjawab atas (kekalahan) ini. Beliau mesti menerima tanggungjawab 100 peratus," katanya.
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
 
 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner