Seorang, daripada tiga lelaki, yang disyaki menyimbah cat merah di kediaman pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman semalam berjaya ditahan di Seberang Perai.
Pengawal keselamatan berusia 44 tahun itu berbuat demikian sebagai membantah keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal di jari pemilih pada hari pengundian esok.
Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata penahanan itu berasaskan panggilan telefon dan SMS yang dikirim kepada Abdul Rashid tidak lama selepas insiden tersebut, lapor Bernama .
Polis bagaimanapun tidak menemui sebarang bukti pada lelaki itu yang ditahan petang semalam. Polis juga belum menentukan motif kejadian.
Semalam bahagian pagar rumah Abdul Rashid disimbah dengan cat merah oleh tiga lelaki, sejurus selepas tengah malam. Kejadian itu disedari beliau hanya pada sebelah pagi.
Sementara itu SPR menjangkakan keputusan pengundian paling awal diperolehi pada jam 7 petang esok, lapor laman The Star .
Setiausahanya Datuk Kamaruzaman Mohd Noor dilaporkan berkata keputusan majoriti mudah dapat diketahui menjelang jam 10 atau 11 malam.
Bernama pula melaporkan Kamaruzaman menafikan desas-desus bahawa kertas undi telah diedarkan secara tidak sah di Selangor.
Dakwaan itu tidak berasas dan kertas undi tidak boleh dikeluarkan oleh pegawai pengurus pilihan raya sehingga esok, tambahnya.
Laporan itu tidak menyebut pihak terlibat dan lokasi penyebaran kertas tersebut.