rencana Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun tidak lagi aktif berpolitik, tetap berada dalam ingatan calon dan pengundi, termasuk kalangan pembangkang di kawasan pedalaman.
Imej tokoh negarawan ini, jarang-jarang sekali muncul di media arus perdana selepas berselisih secara terbuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2006, kini digunakan untuk kempen BN.
Malah Dr Mahathir terus-menerus muncul dengan pelbagai gaya untuk pelbagai tujuan apabila kedua-dua pihak, pembangkang dan BN, menggunakannya untuk meraih undi pada 8 Mac ini.
Suara dan imej Dr Mahathir rancak berkumandang di televisyen dan radio bagi menggambarkan kesinambungan barisan pemimpin BN, termasuk Abdullah.
Sebagai menangkis kempen tersebut -- Abdullah mendapat sokongan padu atau endorsement Dr Mahathir -- maka muncul pula poster yang menunjukkan sebaliknya.
Risalah warna bersaiz A4 diedarkan bagi menggesa pengundi menolak BN, termasuk menyatakan penolakan pada kepemimpinan Abdullah.
Di halaman depan (foto atas) , risalah itu yang memuatkan wajah Dr Mahathir dan penggantinya bertulis "Pak Lah bukan pilihan pertama saya..."
Mesej tersebut ditekankan lagi dengan huruf besar berwarna merah "bukan pilihan pertama."
Kenyataan Dr Mahathir pada 7 Jun 2006 itu diikuti penjelasan bahawa bekas perdana menteri itu telah berterus-terang betapa Abdullah bukanlah pilihan terbaiknya.
Di halaman belakang (foto kanan) , risalah itu -- antaranya diedarkan di Machang, Kelantan kelmarin -- memuatkan kenyataan Dr Mahathir awal tahun ini, "jangan undi pemimpin Umno yang korup".
Risalah itu juga menyebut mantan perdana menteri itu pernah menyeru kepada rakyat agar membuat pilihan terbaik dan tidak memangkah mereka "yang korup dan batang kayu berjawatan pemimpin."
Naib presiden PAS Datuk Husam Musa semalam, sewaktu menangkis isu Kelantan muflis akibat hutang bekalan air, turut berkata layanan kerajaan pusat Dr Mahathir "jauh lebih baik" berbanding pentadbiran Abdullah.
Menjawab hujah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Annuar Musa, Husam berkata, walaupun Mahathir dilihat lebih keras terhadap PAS tetapi beliau lebih terbuka dan sedia berunding dengan kerajaan Kelantan.
"Ketika di zaman Mahathir, saya telah beberapa kali menemani Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) bertemu bekas Perdana Menteri itu untuk berbincang mengenai penswastaan air di Kelantan dan Mahathir menerima idea Tok Guru dengan baik," kata Husam, ketika itu masih setiausaha politik Menteri Besar.
Mahathir juga, kata Husam lagi, seolah-olah "lebih suka Kelantan terus diperintah oleh PAS" ketika negarawan itu masih menjadi Perdana Menteri.
Tidak lama selepas penamaan calon 24 Feb lepas, beredar rakaman ucapan Dr Mahathir melalui laman web perkongsian video terbesar Youtube.com, kemudian dipindahkan kepada laman-laman web, yang menyatakan beliau "telah menzalimi Anwar tanpa sebab."
Walaupun ucapan lebih kurang 60 saat itu dibuat dengan nada sinis, bersama hilai ketawa hadirin, ia masih disebarkan sebagai pengakuan jujur Dr Mahathir.
Menurut laporan akhbar, rakaman itu turut ditayangkan kepada orang ramai di bilik-bilik gerakan pembangkang.
Dr Mahathir hari ini menafikan membuat pengakuan jujur tersebut dan turut menafikan menyokong pembangkang.
Sewaktu ditemubual Malaysiakini hari ini, Dr Mahathir menyifatkan pembangkang tidak canggih menggunakan media apabila menayangkan kenyataannya itu yang ternyata satu sindiran sahaja.
Orang kanannya Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, kini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pula mengajak bekas ketuanya itu berkempen di Shah Alam untuk menjelaskan beberapa isu tentang pemecatan timbalan perdana menteri waktu itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir -- pernah menyatakan tidak berminat berkempen untuk anaknya Mukhriz di Jerlun, Kedah -- akhirnya menemui Umno bahagian itu dan turun berjalan-jalan berkempen bersama exco Pemuda Umno itu.