Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi dalam pilihanraya umum Sabtu ini.
Pengumuman yang mengejutkan itu dibuat dalam satu sidang akhbar di Putrajaya petang ini - empat hari sebelum hari pengundian Sabtu ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Abdul Rashid Abdul Rahman. Turut hadir ialah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Dua hari lalu, pembangkang telah menegur SPR yang nampak keberatan untuk memperkenalkan penggunaan dakwat untuk pengundian.
Ketika mengumumkan perkara tersebut, Abdul Rashid berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuaratnya hari ini berasaskan nasihat dari segi perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.
"Hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat kepada pihak polis, mengesahkan bahawa terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah membeli dakwat dari luar negara bagi menjalankan aktiviti memujuk dan menyogok orang yang kurang faham mengenai penggunaan dakwat itu untuk dicalit sebelum hari mengundi.
SPR dukacita
"SPR berasa amat dukacita atas keputusan yang dibuat ini. Namun begitu, demi menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam menjamin kelancaran proses pengundian serta ketenteraman serta keselamatan awam, SPR perlu mengambil keputusan tegas dan muktamad ini," katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, SPR sebelum ini mengumumkan cadangan menggunakan dakwat khas dari India itu untuk menanda kuku atau jari pengundi bagi mengelak penipuan dalam pilihanraya umum.
Tanda dakwat itu bagaimanapun tidak terpakai bagi pengundi pos yang perlu membuat pelbagai pengisytiharan bagi menentukan kesahihannya.
Tanda dakwat berwarna hitam yang membabitkan kos kurang daripada RM1 juta itu bertujuan memuaskan hati semua pihak memandangkan selepas pilihanraya umum 2004, terdapat pelbagai desakan oleh beberapa parti politik supaya SPR melaksanakan suatu kaedah bagi menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan dalam proses pengundian.
Abdul Rashid berkata kegiatan itu (mengecat kuku) dikesan berlaku terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.
"Mereka ini mungkin dianggap sebagai telah mengundi apabila datang pada hari pengundian. Selain itu, kemungkinan terdapat di kalangan pengundi yang terpedaya itu tidak keluar mengundi kerana takut dianggap telah melakukan kesalahan.
"Sekiranya pengundi-pengundi itu hadir mengundi, sudah tentu akan timbul keraguan di kalangan ejen calon dan petugas SPR mengenai status pengundi-pengundi berkenaan. Ini boleh menyebabkan tercetusnya kekecohan di tempat-tempat mengundi yang mungkin sukar dikawal jika berlaku secara berleluasa," katanya.
Tiada tekanan politik
Berikutan itu katanya SPR memandang serius keadaan itu kerana proses pengundian dan ketenteraman serta keselamatan awam tidak boleh sekali-kali dikompromi.
Selain itu, Abdul Rashid berkata pembatalan itu juga disebabkan peruntukan undang-undang perlu digubal bagi mengadakan peruntukan yang membenarkan pengundi yang kukunya telah dicalit dan pengundi yang enggan berbuat demikian, diberikan kertas undi.
Beliau berkata, sekiranya tanda dakwat itu hendak diperkenalkan, ia tidak boleh menjejaskan hak pengundi untuk mengundi selaras dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang bermakna hak pemilih berdaftar tidak boleh dinafikan kecuali jika pemilih berdaftar itu hilang kelayakan untuk mengundi mengikut undang-undang.
Katanya peruntukan undang-undang yang perlu digubal didapati tidak akan mencapai maksud asal SPR memperkenalkan penggunaan tanda dakwat itu yang berdasarkan cadangan asalnya, seseorang yang kukunya telah dicalit dengan dakwat tidak boleh diberi kertas undi.
"Dari sudut praktiknya, jika SPR masih perlu memberikan kertas undi kepada pengundi yang sedemikian, kaedah tersebut tidak akan membawa makna atau memberi kesan positif, malah berpotensi besar menimbulkan perselisihan faham serta pertengkaran dan pergaduhan di tempat mengundi," katanya.
Sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan daripada parti politik, beliau berharap semua pihak menerimanya dengan hati terbuka demi keselamatan pengundi.
Sementara itu, R Sivarasa, calon PKR bagi Parlimen Subang di Selangor berkata, penggunaan dakwaan tersebut akan menghalang perbuatan mengundi lebih daripada sekali.
"Mereka telah mengelirukan semua rakyat malaysia, para pengundi, bahawa mereka akan melaksanakan penggunaan dakwat khas penanda jari semasa pengundian.
"Mereka juga telah mengeluarkan banyak kenyataan mengenai kos dakwaat tersebut dan mereka akan membelinya," tambah beliau.