Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kutip derma: Laporan polis terhadap calon PAS
Diterbitkan:  Mar 2, 2008 9:23 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis terhadap calon PAS, Subri Md Arshad yang didakwa mengedar risalah meminta derma kewangan dari orang ramai bagi membantunya bertanding dalam pilihanraya umum ini.

Laporan tersebut dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas Datuk Reezal Merican Naina Merican di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan tersebuat, Reezal berkata ia dibuat bagi meminta polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menyiasat sama ada tindakan calon pembangkang bagi kerusi Parlimen Kepala Batas itu melanggar Akta Pilihanraya atau tidak," katanya dalam laporan Bernama.

"Polis juga perlu menjalankan siasatan sama ada mereka mempunyai permit untuk meminta sumbangan dari orang ramai atau tidak," katanya sambil menambah, risalah yang diedar di sekitar Kepala Batas itu tertera nama, alamat serta nombor akaun bank calon PAS berkenaan," kata selepas membuat laporan tersebut.

"Alamat yang dicetak di atas risalah itu adalah alamat calon itu. Alamat itu sama dengan borang pencalonan calon berkenaan," katanya.

Subri adalah calon PAS yang akan menentang Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi kerusi Parlimen Kepala Batas 8 Mac ini.

Reezal berkata jika benar calon PAS itu meminta orang ramai membuat sumbangan untuk membantunya bertanding, ia secara jelas menggambarkan parti itu tidak mampu berkhidmat untuk rakyat, tetapi sebaliknya mahu rakyat "membela" mereka.

"Kalau benarlah kerja ini dibuat oleh calon PAS di Kepala Batas, ini bukan perkara mainan. Kita bertanding untuk tawar khidmat kepada rakyat bukan minta rakyat berkhidmat untuk kita," katanya.

Beliau percaya risalah itu telah lama diedar di kawasan Kepala Batas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS