Pengurus kempen pilihanrayanya ditangkap pada hari penamaan calon, digari dan ditahan selama enam jam tanpa sebarang sebab.
Dua hari kemudiannya, kereta pengurus kempennya disembah dengan cat dan asid.
Calon DAP bagi Parlimen Segambut ini - Lim Lip Eng - mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kedua-dua insiden tersebut mungkin satu bentuk gangguan terhadap kempen pilihanrayanya.
Peguam dari Klang ini memberitahu Malaysiakini bahawa pada hari penamaan calon, pengurus kempennya, Peh Thiam Hock telah ditangkap pada jam 11 malam tanpa sebarang alasan dan digari di stesen polis Jinjang.
“Saya bertanya kepada pegawai polis di balai tersebut - yang berpangkat ASP tetapi enggan memberitahu namanya - apakah kesalahan Peh.
“Katanya, ada laporan polis dibuat terhadap Peh, jadi mereka menangkapnya. Dia gagal memberitahu saya sebarang butiran mengenainya dan terus beredar dari balai tersebut meninggalkan saya, Peh dan orang bawahannya di situ," cerita Lim.
Lim berkata, beliau kemudiannya menghubungi ibupejabat polis daerah Sentul (IPD) untuk mendapatkan penjelasan dan dia diberitahu supaya menunggu.
“Saya kemudian keluar selama 10 minit untuk membeli surat khabar dan bila saya datang balik, Peh tidak ada di situ. Saya kemudian mendapat tahu dia telah dibawa ke IPD Sentul tanpa pengetahuan saya," katanya.
Apabila Lim pergi ke IPD Sentul, beliau mendapat pegawai yang bertugas bernama Hamid, tidak ada di situ.
“Hamid membeitahu saya supaya jangan menunggu. Dia berjanji, Peh akan dibebas dengan jaminan polis sebaik sahaja dia pulang ke pejabat.
“Saya menunggu sehingga jam 3 pagi. Kerana terlalu letih, saya pun pulang ke rumah," katanya.
Peh dibebaskan pada jam 4 pagi 25 Februari dengan jaminan polis tanpa dikenakan sebarang tuduhan.
Insiden kereta tidak disiasat
Dua hari kemudiannya, Peh dan isterinya, Soo Bee Kim mendapati kereta mereka - Toyoto Vios warna perak - telah disembah dengan asid dan cat putih, dekat tempat tinggal mereka di Apartmen Taman Fadasan di Kepong.
Lim berkata Soo telah membuat laporan di IPD Sentul dan pegawai penyiasat yang dikenali sebagai Inspektor Faizul mendesak supaya kereta tersebut dibawa ke ibupejabat polis tersebut.
“Saya beritahu Peh bahawa polis yang sepatutnya datang memeriksa kereta tersebut. Kereta itu tidak boleh diubah dari tempat berlakunya jenayah.
“Tetapi 48 berlalu dan Inspektor Faizal tidak menghubungi kami. Kereta yang disembah cat dan asid itu masih di sana. Nampaknya IPD Sentul tidak berminat menyiasat kes tersebut," katanya.
Menurut Lim lagi, beliau telah berjanji kepada Peh untuk mendapatkan sumbangan bagi mengecat semula kereta tersebut yang berjumlah kira-kira RM3,500.
“Selepas kedua-dua insiden tersebut, sukar untuk menolak kemungkinan bahawa ianya satu kes gangguan politik dan pihak polis telah digunakan untuk tujuan tersebut.
Penjelasan polis
Ketika dihubungi, Ketua Polis Sentul, ACP, Ahmad Sofian Md Yassin menafikan bahawa Peh ditangkap tanpa sebarang sebab.
“Ada kesalahan yang dilakukan. Dia ditangkap selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya kerana menceroboh dan bukan kerana dia pengurus kempen (calon DAP, Lim).
“Tiada unsur-unsur politik kerana kita tiada kaitan dengan politik. Ia menjadi politik kerana mereka mahu menjadikannya satu (isu) politik," katanya.
Mengenai kes kereta Peh disembah cat dan asid, Ahmad Sofian berkata beliau akan menyemak butirannya terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut.
Lim akan berdepan dengan calon BN, Ma Woei Chyi, juga seorang peguam yang sebelum ini dua berkali bertanding kerusi Parlimen Kepong, tetapi tewas kepada calon DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Parlimen Segambut mempunyai kira-kira 59,690 pengundi yang terdiri daripada 51.8 peratus Cina, 36.3 peratus Melayu dan 11.6 peratus India.