Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Maimun Yusof, 89, calon bebas kawasan parlimen Kuala Terengganu tidak mampu berkempen seperti calon-calon lain.

Maimun Yusof nenek calon bebas 04 Beliau tidak ada jentera pilihanraya, bilik gerakan, wang dan penyokong. Yang ada hanyalah dirinya sendiri.

Dalam pilihanraya kali ini beliau berdepan dengan Datuk Razali Ismail (BN) dan calon naib presiden PAS Mohamad Sabu. Maimun menggunakan logo kunci.

Menurutnya beliau sudah lama mahu bertanding iaitu sejak 20 tahun lalu tetapi pencalonannya ditolak oleh pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada hari penamaan calon.

Rumahnya daif, periuk di dapurnya berselerak dan kain baju pula bertaburan di dalam rumahnya kerana beliau hanya tinggal seorang diri di rumah itu.

Maimun juga sebenarnya seorang penerima bantuan bulanan sebanyak RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu.

Pagi tadi, pegawai-pegawai jabatan memujuk Maimun supaya menarik diri, bagaimanapun beliau enggan.

'Alang-alang mandi...'

Maimun Yusof nenek calon bebas 03 "Kalau dah Tok masuk, Tok tak mahu keluar lagi. Alang-alang mandi biar basah, alang-alang mengharung air biar sampai.

"Kalau kalah pun biarlah nak buat macam mana. Tetapi harap-harap Tok menang," kata Maimun yang dikenali dengan panggilan Tok di kalangan penduduk setempat ketika ditemui di rumahnya petang tadi.

Semasa tinjauan Malaysiakini hari ini, dua pekerja sedang membetulkan tangga rumahnya yang hampir runtuh.

Sehingga kini belum ada sekeping pun poster atau kain pemidang sebagai bahan kempen pilihanraya kali ini.

Tetapi janda anak satu itu sudah menempah 1,000 poster berlambang kunci tetapi dijangka siap sepenuhnya sehari dua lagi.

Maimun Yusof nenek calon bebas 02 Untuk itu, Maimun hanya berkempen menggunakan basikalnya sambil menjual kain songket di beberapa kampung dekat rumahnya di Kampung Mengadang Akar, dua kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu.

Maimun sehingga hari ketiga selepas penamaan calon belum mengadakan sebarang majlis ceramah atau kempen dari rumah ke rumah.

"Tok tidak tahu nak ceramah tetapi nak adakan juga (sekali) sebelum tempoh berkempen tamat. Tok nak beritahu kisah sebenar kepada orang kampung pasal apa Tok bertanding.

"Kerana Tok bertanding supaya Tok boleh bersuara di dalam dewan mengenai apa yang berlaku di dalam negeri kita (Terengganu).

"Tok tengok orang buat salah belaka. Berdosa juga kalau kita tidak bersuara. Kalau bersuara tepi-tepi jalan tak jadi apa.

"Orang nak jual negeri kita kepada orang luar tetapi Tok tak mahu mereka jual," katanya ketika ditemui hari ini.

rumah nenek calon bebas Untuk menguatkan hujahnya, Maimun berkata, PAS mahu menjual negeri Terengganu kepada Jepun kerana lambang PAS hampir sama dengan bendera negeri matahari terbit itu.

Menurutnya, beliau tidak mahu Terengganu menjadi seperti Singapura dan Pulau Pinang yang menjadi "negeri orang Cina."

"BN pula mahu menjual negeri ini kepada orang luar dan kerana itu mereka buat bangunan tinggi supaya orang luar datang," katanya.

Jika menang dalam pilihanraya kali ini, Maimun berjanji membantu semua orang baik orang muda mahupun orang tua.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS