Mahkamah Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan habeas corpus yang difailkan oleh lima pemimpin Hindraf yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Hakim Datuk Zainal Azman Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa arahan penahanan mereka yang dikeluarkan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri adalah sah dan memenuhi semua syarat-syarat di bawah ISA.
Beliau berkata, mahkamah telah memberi pertimbangan kepada afidavit-afidavit yang difailkan oleh permohonan dan responden, termasuk afidavit sokongan oleh menteri berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak ada yang menunjukkan berlakunya pelanggaran syarat-syarat tersebut.
Hakim itu juga menyatatakan, berasaskan kepada kes-kes sebelumnya, menteri boleh mengeluarkan arahan seseorang itu ditahan di bawah Seksyen 8 ISA.
Beratus penyokong
Dalam permohonan mereka, kelima-lima pemimpin Hindraf itu berkata penahanan mereka adalah tidak sah kerana alasan penahanan mereka adalah kabur.
Kelima-lima mereka - P Uthayakumar, M Manoharan, T Vasantha Kumar, V Ganabatirau dan R Kenghadharan - ditahan pada 13 Disember lalu kerana didakwa menganjurkan perhimpunan haram pada 25 November serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.
Kecewa dengan penghakiman tersebut, kira-kira 300 penyokong Hindraf yang berhimpun di luar dewan mahkamah melaungkan 'Valga Hindraf' (Hidup Hindraf) dan 'Valga Makkal Sakthi' (Hidup Kuasa Rakyat).
Peguam mereka, Karpal Singh dan anaknya, Gobind Singh Deo memberitahu mereka bahawa rayuan akan difailkan di Mahkamah Persekutuan esok.
Gobind pula berkata walaupun mereka menghormati keputusan mahkamah, mereka tidak puashati dan berikrar akan berjuang untuk keadilan hingga ke akhirnya.
