Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CIJ: Biar media bebas lapor pilihanraya
Diterbitkan:  Feb 25, 2008 9:09 PM
Dikemaskini: 3:57 PM

kemaskini 10:20pm Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) dan Pakatan Penulis untuk Media Bebas (WAMI) memandang berat perkembangan yang boleh mewujudkan suasana liputan media yang tidak adil dan memberi kelebihan kepada calon-calon kerajaan.

Dua kumpulan aktivis media itu mengulas pembukaan sebuah pusat media di halaman kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, di Mentaloon, Alor Star, pada 19 Februari lalu, sepert dilaporkan di akhbar New Straits Times .

Pusat tersebut menyediakan kemudahan komputer, sambungan internet, mesin faks, bilik-bilik mesyuarat, malah makanan turut disediakan tiga kali sehari.

"Kita menghubungi pegawai petugas di situ dan diberitahu bahawa pusat tersebut disediakan untuk keselesaan wartawan yang membuat liputan majlis-majlis Barisan Nasional (BN) menggunakan kemudahan di situ untuk menghantar berita mereka dengan segera," kata pengarah eksekutif CIJ Gayathry Venkiteswaran dan pengerusi WAMI Wong Chin Huat dalam satu kenyataan bersama.

Bagaimanapun, menurut mereka, satu sumber berkata, para wartawan boleh datang ke pusat tersebut pada bila-bila masa sepanjang tempoh ia dibuka.

"Kemudahan tersebut hanya menimbulkan keraguan mengenai kebebasan kakitangan media yang menggunakan kemudahan pusat media ini (untuk membuat laporan).

"Kami berharap para editor dapat menggunakan kebijaksanaan mereka dan memastikan semua wartawan mereka (memproses berita) di pejabat mereka sendiri," kata mereka lagi.

'Gula-gula' untuk wartawan

Mereka juga memandang berat kebimbangan yang ditimbulkan oleh penulis The Sun Terence Fernandez dalam kolumnya 'Down to Earth' bahawa pada musim pilihanraya ini, terdapat individu-individu yang cuba menawarkan 'gula-gula' kepada wartawan.

"Kami ingin mengulangi di sini bahawa wartawan mesti mematuhi kod etika mereka bagi melindungi integriti dan kredibiliti mereka," kenyataan CIJ dan WAMI dipetik.

Mereka juga menggesa para wartawan yang didatangi mana-mana individu seumpama itu supaya mendedahkan sebarang cubaan untuk merasuah pihak media atau melakukan sesuatu yang melanggar piawaian etika di bilik berita.

Kebimbangan kedua, menurut mereka, berhubung akses semua parti bertanding untuk menyiarkan iklan di media.

Mereka berkata, pada 20 Februari, akhbar-akhbar Daily Express di Sabah, New Sabah Times dan The Borneo Post dilaporkan telah mula menyiarkan iklan-iklan dari Parti Progresif Sabah SAPP, sebuah komponen BN.

"Penulis akhbar The Sun Fernandez menyatakan secara terbuka dalam kolumnya bahawa akhbar tersebut akan menyiarkan iklan-iklan dari semua parti politik.

"CIJ dan WAMI menggesa media supaya melaksanakan peranannya secara adil dan kita menggalakkan parti dan calon BN supaya memanfaatkan kesediaan media tersebut untuk publisiti mereka.

Liputan tidak adil

"Kita juga memandang berat amaran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, baru-baru ini mengenai penulis blog dan penggunaan teknologi internet oleh parti-parti bukan BN.

"Kami ingin mengingatkan Azalina bahawa calon dan parti bukan BN telah diberikan liputan tidak adil oleh media arus perdana, terutama milik kerajaan, yang sepatutnya menyediakan ruang kepada semua calon.

"Oleh itu, calon-calon pembangkang perlu menggunakan sepenuhnya sumber-sumber yang ada untuk berkempen bagi menjelaskan kepada pengundi mengenai kedudukan mereka, isu-isu dan janji-janji mereka," tegas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, CIJ dan WAMI menggesa pihak media supaya bersikap adil sepanjang masa, terutama sewaktu musim pilihanraya sekarang.

"Akses kepada media arus perdana bukan satu monopoli BN dan kerana itu, kita menggesa kerajaan sementara sekarang supaya menghormati hak-hak demokrasi semua rakyat Malaysia untuk mendapat dan menyebarkan maklumat.

"CIJ dan WAMI sedang memantau liputan pilihanraya bersama-sama dengan Piagam 2000-Aliran dan sebuah kumpulan warga prihatin," tegas mereka.

Laporan pemantauan media tiga kumpulan aktivis ini boleh dicapai di blog 'Election 2008 - Malaysian Media Monitors' Diary' ( www.aliran.com/elections/ ).

Tekanan media Cina, Tamil

Malaysiakini melaporkan wartawan-wartawan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily , telah diberikan "garis panduan" yang memihak kepada BN.

Dalam kenyataan lain minggu lalu, CIJ turut menjelaskan sebuah akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai , tidak dilanjutkan permit penerbitannya oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), yang menekannya daripada memberi liputan adil dan bebas.

Oriental Daily mengeluarkan "garis panduan" itu sebagai langkah kawalan agar permitnya yang belum diperbaharui sejak Disember lalu diluluskan. Permit akhbar ini pernah bermasalah dua kali sebelum ini, pada 2002 dan 2006.

Menurut CIJ lagi, pemantauan badan itu mendapati liputan Makkal Osai menjelang pilihanraya umum ini banyak berpihak kepada BN setelah menerima tekanan akibat melaporkan isu-isu yang tidak disenangi MIC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS