Tengku Adnan: Sama ada Lingam gila ataupun mabuk...
Chua Sue-Ann
Jan 17, 08
6:26pm
Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Mansor hari ini menafikan sebarang pembabitan dalam pelantikan hakim-hakim, seperti yang didakwa dalam klip video perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam dengan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Tengku Adnan berkata, beliau tidak tahu mengapa namanya disebut oleh Lingam dalam perbualan telefon tersebut yang dirakamkan secara rahsia pada Disember 2001.

Klip video tersebut didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim September lalu.

“VK Lingam mungkin gila atau mabuk bila dia menyebut nama saya dalam perbualan telefonnya itu," katanya ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam.

Dalam rakaman perbualan telefon tersebut, Nama Tengku Adnan disebut sebanyak 11 kali oleh Lingam, membayangkan beliau (Tengku Adnan) yang merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, boleh mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik hakim-hakim yang sehaluan.

Tengku Adnan merupakan saksi kesepuluh yang dipanggil memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja itu. Sebelum itu, suruhanjaya tersebut mendengar keterangan dari Dr Mahathir.

Apabila ditanya oleh anggota suruhanjaya tersebut, Datuk Mahadev Shankar mengapa beliau tidak menghubungi Lingam selepas melihat klip video tersebut bagi membersihkan namanya, Tengku Adnan berkata beliau tidak merasakan perlu untuk berbuat demikian.

Katanya, beliau merasakan lelaki (Lingam) dalam video tersebut mungkin gila ataupun mabuk.

Oleh itu, katanya, beliau tidak kisah untuk menghubungi lelaki tersebut kerana semua itu tidak benar.

Nama digunakan

Sebelum itu, Tengku Adnan ditanya oleh peguam yang mewakili Majlis Peguam, Christopher Leong mengenai pembabitannya dalam pelantikan hakim-hakim.

Leong: (Seperti dalam transkrip) orang yang bercakap itu (Lingam) merujuk kepada fakta...dan menyatakan sumber maklumatnya adalah anda.

Terjemahan: 'CJ (Dzaiddin Abdullah) berkata saudaranya kini menjadi Agong, jadi dia mahu kekal hingga 68, jadi, Tengku Adnan berkata - Saya beritahu Tengku Adnan, semalam saya ada berjumpa dengannya - dia kata PM sudah marah dengan dia... dan ... dia kata, dia tiada masalah, dia akan lantik anda sebagai pemangku err... sahkan jawatan anda sebagai PCA (Presiden Mahkamah Rayuan - jawatan No 2), bekerja keras,dan kemudiannya lantik Tan Sri Mokhtar (Abdullah) sebaga CJM (Hakim Besar Malaya)'.

Terjemahan: 'Ah, jadi kita hendaklah rahsiakannya. Saya bekerja keras mengenainya. Kemudian ada sepucuk surat, menurut Tengku - Saya akan menemui beliau esok - ada surat dihantar kepada… ah … CJ - Maksud saya Tan Sri Dzaiddin - bahawa Datuk Heliliah, …er Datuk Ramli dan Datuk Maarop dilantik menjadi hakim, dan beliau (Mahathir) menolak Dr Andrew Chew dan apa itu Zainudin Ismail lah kerana Zainuddin Ismail yang mengkritik pelantikan anda dan pelantikan Tan Sri Mohtar."

Tengku Adnan: Tidak. Ia bukan saya.

Leong: Jadi, Jadi, orang yang bercakap itu mempunyai fakta yang betul, tetapi menyebut punca sumber yang salah?

Tengku Adnan: Ya. Saya tidak tahu sama ada fakta itu benar atau salah.

Leong: Terdapat 11 kali orang yang bercakap merujuk kepada nama anda, (mendakwa) telah bercakap dengan anda, bertemu, menelefon dan akan menelefon anda - anda telah menafikan kesemuanya. Adakah anda bersetuju (bahawa) jika ini adalah direka-reka, dia memang seorang yang kuat berangan?

Tengku Adnan: Saya tidak tahu.

Leong: Mengapa anda fikir orang yang bercakap, daripada semua nama-nama, secara khususnya memilih nama anda?

Tengku Adnan menjelaskan bahawa namanya sering disalahgunakan dalam hal-hal yang lain juga.

Tengku Adnan: (Nama saya digunakan) untuk macam-macam perkara (termasuk) memohon derma bina masjid, masuk penjara. Itu salah! Kita mesti berlaku adil. Dia boleh menggunakan nama saya. Saya tidak tahu. Sesiapa sahaja boleh guna nama saya.

Mahadev:
Anda marah?

Tengku Adnan: Ada masanya saya marah. Sebagai seorang manusia, saya simpan dalam hati. Banyak perkara yang berlaku tetapi kita tidak faham mengapa.

Leong: Adakah Lingam cakap bohong?

Tengku Adnan: Saya tidak tahu.

Di akhir keterangannya itu, anggota suruhanjaya tersebut Datuk Steve Shim bertanya kepada Tengku Adnan sama ada beliau mempunyai apa-apa komen lagi yang hendak dibuat, dan menteri pelancongan itu menjawab: "Nama saya selalu digunakan. Saya tidak tahu apa. Mungkin orang fikir nama saya ada nilai ...Saya juga tidak tahu mengapa ini berlaku pada diri saya."

Hanya urusan perniagaan

Sementara itu, Tengku Adnan juga memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa hubungannya dengan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan dan Lingam hanya atas urusan perniagaan tetapi tidak ingat apakah urusan tersebut.

Beliau memberitahu demikian apabila Leong menyebut senarai syarikat-syarikat untuk menentukan hubungan perniagaan menteri tersebut dengan kedua-dua mereka.

“Saya tidak ingat. Ia membabitkan banyak peguam dan banyak perniagaan," kata Tengku Adnan.

Antara syarikat yang disenaraikan oleh Leong ialah Berjaya Industrial Bhd, Berjaya subsidiary Cosway Malaysia dan Digi Telecommunications Sdn Bhd.

Tengku Adnan juga memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa beliau mengenali Tan sejak tahun 1990-an dan Lingam merupakan salah seorang peguam yang dilantik oleh syarikat Tan.

“Selepas saya aktif dalam politik di sekitar 1998, saya telah menjual banyak (saham). saya tidak ingat ... saya memiliki banyak saham (dalam pelbagai syarikat), bukan sahaja dalam (syarikat-syarikat) Berjaya," kata Tengku Adnan.

Beliau juga menafikan telah menemui Tan dan Lingam untuk membincangkan mengenai pelantikan hakim-hakim 'yang sehaluan'.

Tengku Adnan berkata, beliau hanya melihat klip video 'VK Lingam' September atau Oktober tahun lalu selepas diberitahu oleh seorang rakannya.

Beliau juga memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa hari ini adalah kali pertama beliau menyaksikan klip video penuh itu selama 14 minit. Sebelum ini, beliau hanya menyaksi klip video selama lapan minit.

Leong kemudiannya bertanya Tengku Adnan bagaimana beliau dapat mengenali orang dalam klip video itu sebagai LIngam, ekoran kenyataan sebelum ini bahawa mereka jarang berinteraksi.

“Saya hanya mengenalinya selepas menyaksikan (video tersebut) untuk seketika. Seperti juga wajah anda (Leong), selepas ini, saya akan ingat juga," jawabnya.

Rekod telefon

Selepas memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai nombor telefon Lingam, Leong bertanya sama ada Tengku Adnan bersedia memberikan rekod panggilan telefonnya pada tahun 2001.

“Tak ada masalah. Mengapa ia akan menjadi masalah," jawab menteri.

Leong meminta dokumen itu disapina tetapi Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar Mohamed Noor tidak menyatakan apa-apa mengenainya.

Selepas kira-kira sejam memberi keterangan, Tengku Adnan menepuk bahu Leong dan tersenyum sewaktu beliau berjalan keluar dari bilik mahkamah.

Tengku Adnan juga disoalbalas oleh Timbalan Pendakwarya, Datuk Azmi Ariffin dan peguam M Puravalen yang mewakili Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, Tengku Adnan jmemberitahu suruhanjaya diraja itu bahawa tanggungjawab sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, antara lain, menyelia pembinaan dan pembukaan bangunan mahkamah, Biro Tata Negara (BTN) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Berita asal
 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner