Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta rakyat supaya jangan mempercayai khabar angin yang sedang berlegar bahawa rusuhan kaum akan berlaku di ibu negara esok.

Beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri menafikan sekeras-kerasnya khabar angin bahawa orang Melayu akan berkumpul di Kampong Baru, di Kuala Lumpur manakala pengikut kumpulan Hindraf (Hindu Rights Action Force) pula akan berkumpul di Batu Caves.

"Rumours-rumours lah, tetapi orang Melayu tak ada kata nak buat apa-apa pertemuan esok atau perjumpaan ramai-ramai. Setahu saya tak ada," kata Abdullah yang juga Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai khabar angin yang tersebar secara lisan dan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kononnya akan berlaku rusuhan di ibu negara esok sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk ke ibu negara.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata, polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dan cuba menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.

Ketika ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil kerajaan terhadap penyebar khabar angin itu khususnya yang menggunakan SMS, Abdullah berkata undang-undang multimedia (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) sedia ada tidak mencukupi untuk menyekat penyebaran SMS sedemikian.

Perdana Menteri berkata cara yang paling berkesan untuk mengelakkan fitnah dan khabar angin ialah dengan semua pihak bertanggungjawab dalam setiap tindakan mereka dan mengutamakan kepentingan negara sepanjang masa.

"Saya menyeru kepada rakyat supaya kita perlu bertanggungjawab ke atas isu-isu yang ada berhubung kait dengan keamanan dan keselamatan (negara), isu yang boleh menimbulkan keresahan, mungkin kemarahan dan mungkin juga tindakan yang tidak terkawal.

Amaran Musa

"Kita perlu berhati-hati. Jangan buat cerita yang bukan-bukan," katanya.

Perdana Menteri berkata demonstrasi jalanan sebelum ini telah menyebabkan kerugian kepada semua pihak termasuk peniaga, pengusaha hotel, pengusaha bas, pemandu teksi dan restoran di kawasan terlibat.

"Ini (demonstrasi jalanan) akan menyebabkan kerugian yang banyak," katanya.

Abdullah juga berkata MT Umno hari ini sebulat suara menyokong tindakan kerajaan dalam menangani isu melibatkan keselamatan dan ketenteraman dalam negara termasuk penahanan lima orang Khamis lepas kerana mendalangi perhimpunan haram Hindraf pada 25 Nov lepas mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran akan mengenakan tindakan ISA terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin kononnya akan berlaku pergaduhan kaum seumpama itu di Kampung Baru dan Puchong esok.

Musa turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tindak-tanduk kumpulan tertentu yang menyebarkan pembohongan itu dengan tujuan mencetuskan rusuhan kaum dan menghasut mereka supaya membenci kerajaan.

Ketua Polis Negara berkata penyebar khabar angin yang didapati menyebarkan pembohongan dan menghantar berita palsu melalui SMS, menghadapi risiko ditangkap mengikut Seksyen 28 ISA dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda hingga RM10,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.