Pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA
Beberapa pemimpin Hindraf (Hindu Rights Action Force) telah ditahan tengah ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan telah dibawa ke ibupejabat polis Bukit Aman.
Mereka yang ditahan ialah Penasihat Undang-undangnya, P Uthayakumar; peguam M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan setiausaha Hindraf, T Vasanthakumar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan penhanan tersebut, mengikut Seksyen 8 (1), ISA.
Beberapa pemimpin Hindraf (Hindu Rights Action Force) telah ditahan tengah ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan telah dibawa ke ibupejabat polis Bukit Aman.
Mereka yang ditahan ialah Penasihat Undang-undangnya - P Uthayakumar; peguam M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau - dan setiausaha Hindraf, T Vasanthakumar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan penahanan mereka dibuat mengikut Seksyen 8(1) Akta Keselamatan Negeri (ISA).
Menurut beliau, kelima-lima pemimpin Hindraf itu telah dihantar ke Pusat Tahanan Kemunting untuk ditahan selama dua tahun.
Yang pertama ditahan ialah peguam Kenghadharan, di pejabatnya di Petaling Jaya kira-kira jam 12.30 tengahari oleh sepasukan polis dari Bukit Aman. Polis kemudiannya menahan Ganabatirau di Seremban, manakala Vasanthakumar pula ditahan kira-kira jam 2 petang di Brickfields .
Manakala Pengerusi Hindraf, P Waythmoorthy kini berada di luar negara.
Ganabatirau ditahan oleh sepasukan polis yang diketuai oleh ASP Zairulnain Lamat dari Bukit Aman, kata adiknya, Raidu.
“Bila ditanya mengapa dia ditangkap, beliau berkata ia di bawah ISA," kata Raidu.
Diekori polis
Menurutnya lagi, Zairulnain berkata, polis mempunyai maklumat y bahawa Hindraf sedang merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan seperti yang diadakan pada 25 November lalu.
Manoharan idipercayai ditahan ketika beliau pergi ke Bukit Aman untuk bertemu Kenghadharan manakala Uthayakumar pula ditahan di firma guamannya di Bangsar.
Awal hari ini, Uthayakumar memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mengesyaki lebih ramai pemimpin Hindraf akan ditahan, ekoran penahanan Kenghadharan tengahari tadi.
Uthayakumar juga berkata, beliau telah diekori oleh polis dari rumahnya hingga ke pejabatnya.
Menurutnya, Ganabatirau juga diekori polis ketika dalam perjalanan dari Shah Alam ke Seremban di mana dia ditahan.
Pihak polis telah mensasarkan para peguam Hindraf sejak beberapa minggu lalu.
Tindakan menahan peguam Hindraf bermula dengan tangkapan ke atas Pengerusinya, P Waythamoorthy, penasihat undang-undangnya, P Uthayakumar dan seorang lagi peguam, V Ganabatirau pada 23 November lalu.
Tuduhan menghasut
Mereka kemudiannya didakwa di mahkamah di Klang atas tuduhan menghasut.
Dan kemudian Uthayakumar ditahan sekali lagi dan didakwa atas satu lagi tuduhan menghasut di Kuala Lumpur. Beliau juga kemudiannya ditahan semalaman sebelum dibebaskan semalam tanpa didakwa.
Kedua-dua Waythamoorthy dan Ganabatirau juga turut ditahan semula dan dibebaskan selepas beberapa jam ditahan.
Hindraf menjadi sasaran polis selepas menganjurkan ceramah di seluruh negara di mana mereka didakwa membuat ucapan yang berunsur hasutan berhubung peminggiran masyarakat India di negara ini.
Pada 25 November lalu, Hindraf telah menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh kira-kira 30,000 orang.
Polis telah menggunakan gas pemedih mata dan tembakan air untuk menyuraikan orang ramai.
Seramai 31 daripada mreka telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh dan sebahagiannya turut menghadapi tuduhan menyertai perhimpunan haram.
Kenghadharan adalah antara peguam yang mewakili mereka yang dihadapkan ke mahkamah tersebut.
Beliau juga adalah salah seorang peguam yang mewakili Uthayakumar yang menghadapi tuduhan menghasut.
Sejak kebelakangan ini, pihak kerajaan telah mengatakan bahawa ISA mungkin digunakan terhadap pemimpin Hindraf.
Minggu lalu, Musa berkata, Hindraf ada kaitan dengan kumpulan pengganas dan aktif meniupkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat India, dengan membangkitkan kemarahan dan kebencian mereka terhadap kerajaan.
Tambahnya, polis telah mengawasi kumpulan tersebut - yang diterajui oleh lima orang peguam dan seorang eksekutif kanan sebuah syarikat swasta - sejak 28 Julai lalu.

