Polis hari ini melancarkan gerakan menahan dua pemimpin tinggi pembangkang dan berbelas orang lagi yang mengambil bahagian dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu.
Pemimpin terkemuka PAS, Mohamad Sabu ditahan di Perak manakala Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula ditahan di Johor.
Ketika dihubungi pada jam 4.45 petang tadi, isteri Mohamad Sabu memberitahu Malaysiakini bahawa suaminya sedang dibawa oleh polis dari Ipoh ketika beliau sedang menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya.
Manakala Tian Chua pula ditahan di luar pejabat Suaram di Johor Bahru pada jam 5.15 petang oleh sepasukan polis dari Kuala Lumpur.
Seorang pemimpin PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengesahkan tangkapan para penyokong Bersih di beberapa buah negeri.