Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mirzan dan Mokhzani: Bukan kami yang disiasat SPRM
Diterbitkan:  Apr 27, 2024 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Dua anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan mereka bukan di bawah siasatan SPRM.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Mirzan dan Mokhzani juga berkata mereka ingin membuktikan kekayaan yang dimiliki diperolehi melalui cara yang sah dan saluran yang betul.

"Kami ingin memaklumkan bahawa kami berdua bukan di bawah siasatan SPRM, tidak seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

"Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai 'anak' kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," kata mereka.

"Kami memahami bahawa keseluruhan siasatan ini adalah untuk menentukan sama ada bapa kami telah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk memperkayakan kami," kata mereka lagi.

Pada Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan Mahathir antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.

Azam juga berkata notis pengisytiharan harta ke atas Mirzan dan Mokhzani berkaitan dengan siasatan itu, tetapi tidak menjelaskan dengan lebih terperinci.

Hari ini, Mirzan dan Mokhzani berkata mereka menghargai lanjutan masa yang diberikan SPRM ke atas notis yang diserahkan kepada mereka pada Januari lalu.

Kata mereka lagi, memandangkan pengisytiharan harta yang perlu dilakukan meliputi tempoh 43 tahun dengan kurangnya rekod maklumat selama tempoh itu, mereka berharap SPRM dapat menentukan tempoh masa yang paling penting dalam tempoh itu untuk siasatan mereka.

Mereka juga menepis sindiran yang mendakwa mereka memerlukan lebih masa ekoran kekayaan yang terlalu besar.

"Hakikatnya, kebanyakan dokumen sudah tidak lagi boleh didapati terutamanya dari institusi kewangan dan juga dari sektor awam," kata mereka, sambil membangkitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memerlukan pembayar cukai menyimpan rekod yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun.

"Kami menyangkal serta menolak tuduhan ini (kekayaan diperolehi daripada salah guna kuasa) dan ingin membuktikan bahawa apa sahaja yang kami perolehi selama ini adalah melalui cara yang sah, menggunakan saluran yang betul dan tanpa melibatkan sebarang aktiviti jenayah," kata mereka lagi.

Lihat Komen
ADS