Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menjadi Perdana Menteri yang lebih baik daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau memilih Abdullah kerana lebih senior daripada Najib.

Katanya, jika dibandingkan antara Abdullah dan Najib "saya akan kata beliau (Abdullah) kurang berkemampuan".

Beliau menegaskan hakikat bahawa Najib yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri dipilih sebagai salah seorang naib presiden dalam perhimpunan agung Umno 2000 dengan undi terbanyak.

"Tetapi saya juga merasakan beliau (Najib) mungkin agak muda, jadi beliau harus memberi peluang kepada orang yang lebih tua. Itu sebabnya saya memutuskan untuk memilih Abdullah," katanya dalam temubual dengan malaysiakini di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putraya.

Sambil menegaskan yang beliau pada masa itu menjangka Abdullah hanya akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama sepenggal sahaja, Dr Mahathir juga memberitahu, beliau semasa bersara tiga tahun lalu telah menulis kepada Abdullah bagi memastikan Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru.

"Memang beliau mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan, dan pada satu ketika, saya menjangka beliau tidak akan berbuat demikian (melantik Najib)," katanya.

Sambil mengakui beliau berbuat demikian kerana terhutang budi kepada bapa Najib Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussain Dr Mahathir berkata, beliau percaya Najib akan meneruskan dasar-dasar yang dilaksanakannya sewaktu menjadi Perdana Menteri selama dua dekad.

"Saya tidak akan kata, misalannya, Najib akan membatalkan projek jambatan (Indah). Beliau masih bercakap mengenai pembinaan jambatan tersebut hingga di saat-saat akhir (sebelum projek itu dibatalkan)," katanya merujuk kepada projek jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, yang diluluskan sewaktu pentadbirannya.

Manakala Abdullah pula, kata bekas Perdana Menteri itu, mengambil halatuju "yang bertentangan sama sekali".

Menurut Dr Mahathir, satu-satunya kelemahan Najib ialah beliau merasa tidak selamat dalam jawatannya sekarang.

"Saya fikir sekiranya Najib tidak begitu takut akan kehilangan jawatannya jika beliau tidak menyenangkan hati Perdana Menteri, maka beliau akan menjadi seorang Perdana Menteri yang baik," tambahnya.

Ini merupakan teguran pedas terbaru Dr Mahathir, dalam pertelingkahannya dengan Abdullah, berhubung dakwaan rasuah, cara Abdullah mentadbir negara, kelembapan ekonomi serta dakwaan anggota keluarga Abdullah mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk mengaut kekayaan.

Bersumpah dengan al-Quran

Beliau, bagaimanapun, menafikan bahawa tuduhan rasuah dan nepotisme yang dilemparnya terhadap Abdullah itu umpama 'meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri'.

"Ia tidak berlaku sewaktu (pentadbiran) saya. Saya tidak pernah memberi sebarang keistimewaan kepada anak-anak saya, atau apa-apa pun seperti itu, tetapi mereka berniaga atas usaha sendiri, sebahagian besarnya, bukan dengan agensi kerajaan," katanya.

Dr Mahathir, yang juga Penasihat Petronas berkata, beliau tidak pernah menyebut 'satu perkataan pun' untuk membantu anaknya Datuk Mokhazni dalam urusaniaga dengan Petronas dan beliau sanggup bersumpah dengan menjunjung al-Quran.

.

"Dan jika beliau (Abdullah) mahu saya pergi ke masjid dan menjunjung al-Quran serta bersumpah bahawa saya tidak pernah meminta Petronas memberi apa-apa kepada (Datuk) Mokhzani, saya sanggup berbuat demikian," katanya.

Mokhzani memiliki firma kejuruteraan minyak dan gas, Kencana Petroleum Bhd (KPB). Separuh daripada perolehan Kencana sebanyak RM437 juta pada 2006 dilaporkan datangnya daripada urusniaga dengan Petronas dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Petronas.

"Saya dapati, walaupun saya menjadi penasihat kepada Petronas, saya tidak pernah dapat mempengaruhi Petronas dalam apa cara sekalipun. Sebaliknya, tidak banyak yang saya tahu tentang Petronas," katanya.

Dalam temubual sejam itu yang ketiga dengan malaysiakini Dr Mahathir menjawab sesetengah tuduhan utama yang dilempar terhadapnya sewaktu berkuasa selama 22 tahun.

Tidak seperti dua temubual sebelumnya, ini merupakan kali pertama Dr Mahathir bersetuju bertemu dengan malaysiakini tanpa sebarang syarat.

Malaysiakini akan menyiarkan tiga siri temubual penuh dengan Dr Mahathir mulai hari ini. Dua bahagian lagi akan disiarkan esok dan Jumaat. Berita asal

Q&A: Najib afraid he wouldn't be picked as DPM


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS