Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa memaklumkan BN akan tampil dengan formula “sangat meyakinkan” untuk berdepan PRU ke-15.
Malah menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, gabungan yang diterajui Umno itu mempunyai kelebihan dalam pelbagai aspek.
"Insya-Allah saya rasa Umno akan tampil dengan satu formula dengan mereka-mereka yang bersama BN. “BN akan tampil dengan formula politik yang sangat meyakinkan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, di Ketereh, hari ini.
Bagaimana dia tidak menjelaskan lanjut apakah bentuk formula yang bakal dihidangkan kepada pengundi nanti.
Sementara itu ditanya sama ada BN bersedia untuk berdepan PRU ke-15 dengan pembubaran Parlimen Isnin lalu, Annuar menegaskan dia percaya semua parti sudah bersedia.
"Sebenarnya bukan saja Umno, tapi semua parti saya harap sudah bersedia.
“Lagi pun pembubaran ini bukan pembubaran di tengah-tengah, sebaliknya sudah berada di penggal akhir.
"Justeru, saya percaya semua parti politik sudah membuat persiapan," katanya.
Tambah Annuar tahap persediaan Umno juga berada dalam keadaan terbaik di setiap peringkat.
"Tahap kesiapsiagaan Umno pada saya adalah baik dan saya menjangkakan sehingga 80 peratus.
Majlis kerja tertinggi (MKT) juga sudah meluluskan semua perkara dasar dengan baik.
"Pucuk pimpinan parti juga sedang buat penyelarasan akhir termasuk berunding dengan parti lain dan kita serahkan kepada mereka," katanya.