Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert Ilayaraaja dijangka hiburkan 8,000 penonton

Legenda muzik India, Maestro Ilayaraaja, sudah bersedia untuk melakar semula memori muzik hampir lima dekadnya dalam konsert yang dinanti-nantikan di Kuala Lumpur esok (Sabtu).

Lebih 8,000 penonton dijangka menyaksikan Konsert ''Ilayaraaja Live in KL'', selama empat jam di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) anjuran Mojo Projects Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna Kumar Nadarajan, berkata konsert itu pada mulanya dijadualkan pada Mac 2020, tetapi ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.

“Kami sangat bersyukur, kini maestro Ilayaraaja, yang kekal bersemangat dan komited, akan bersama kami esok (Sabtu) bersama 50 ahli muziknya.

“Banyak yang berubah sejak COVID-19 melanda, namun maestro berjanji kepada kami beliau tidak pernah goyah, dan kami berterima kasih untuk itu,” katanya pada sidang media mengenai konsert itu di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri sendiri oleh Ilayaraaja dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

Ilayaraaja, 79, ialah komposer, penyanyi dan penulis lirik filem yang terkenal di India, dan merupakan komposer pertama di Asia yang merakam simfoni untuk Orkestra Filharmonik Diraja di London. Beliau mencetuskan trend untuk muzik filem di India Selatan dengan menggabungkan nuansa muzik Barat menjadi lagu.

Selain dalam bahasa Tamil, beliau juga dipilih sebagai pengarah muzik dalam filem Malayalam, Telugu, Kannada, dan Hindi. Pada Julai tahun ini, komposer muzik itu secara rasmi mengangkat sumpah sebagai ahli Rajya Sabha (dewan tinggi parlimen India), memenangi pencalonannya sebagai personaliti terbilang.

Maestro itu, yang menerima anugerah kebangsaan India – Padma Bhushan pada 2010 dan Padma Vibhushan pada 2018, – telah mencipta muzik untuk lebih 1,000 filem cereka, mengarang 6,500-7,000 lagu dan memenangi lima Anugerah Kebangsaan.

Konsert itu juga akan menampilkan penyanyi SPB Charan, Mano, Yugendran Vasudevan, Karthik, Shweta Mohan, Mukesh, Madhu Balakrishnan dan Anita Karthigeyan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS