Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Kedah: Kenyataan 'air selut' peringatan, bukan ugutan
Diterbitkan:  Mar 25, 2021 11:34 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kenyatannya yang membayangkan Pulau Pinang mungkin terpaksa menggunakan “air selut” bukanlah satu ugutan tetapi lebih bersifat peringatan.

Sanusi berkata, ia berikutan Kedah dijangka akan melaksanakan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (Taps) pada tahun ini dan Pulau Pinang perlu memberi kerjasama untuk projek itu.

Pojek tersebut, katanya, untuk menakung air bagi menstabilkan paras air Sungai Muda sewaktu musim kemarau.

"Saya maklumkan supaya mereka bersedia sebab kita akan buat projek Taps. Kita akan takung air Sungai Muda sewaktu banyak dan setiap 14 Taps ada kawasan takungan besar dengan kedalaman 20 hingga 30 meter serta lebar sehingga satu kilometer.

"Selut terjadi apabila air tinggal sedikit, siapa biasa mandi sungai akan tahu ketika air banyak ia jernih dan laju, tetapi apabila air perlahan dan tinggal sedikit akan jadi berselut.

"Jadi Pulau Pinang kena bersedia dengan keadaan ini kecuali dia berpakat dengan kita. Kita kena rancang untuk elakkan mereka minum selut (lumpur), jika tak pakat dan tak buat bayaran caj air mentah kita rancang untuk kita sahajalah," katanya seperti dipetik BH Online semalam.

Pada 17 Mac, Sanusi membayangkan kemungkinan Pulau Pinang terpaksa menggunakan “air selut” jika kerajaan negeri itu berkeras enggan membayar caj air mentah kepada Kedah.

Ia kemudian dikritik oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yang mempertikai kaitan antara keadaan air dengan caj air mentah.

Sanusi berkata lagi, pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung isu kadar caj bekalan air mentah yang perlu dibayar kerajaan tersebut.

"...Bukan tidak mahu bagi air, tetapi kena bayarlah sebab kita ada kos penyelenggaraan untuk kawasan tadahan," katanya lagi seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS