Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Acap kali apabila tiba 8 Mac, ada sekelumit perasaan ingin tahu tercetus dalam kalangan waris penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysia Airlines MH370, apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat itu tujuh tahun lepas, mengiringi doa dan harapan agar keajaiban akan muncul satu hari nanti.

Ada juga yang sudah tidak mahu mengingatinya dan hanya berserah kepada Tuhan serta pihak berkuasa dalam merungkai misteri paling pelik dalam sejarah penerbangan dunia itu.

Maira Elizabeth Nari, anak perempuan ketua pramugara pesawat itu, Andrew Nari berkata, tiada apa yang boleh dilakukan dan kehidupan perlu diteruskan walaupun tahun demi tahun sejak kehilangan pesawat itu silih berganti, tanpa sebarang jawapan bagi merungkai misteri kehilangannya.

“Sudah bertahun berlalu, cepat sungguh tujuh tahun. Perasaanya sama seperti keadaan tujuh tahun lepas semasa saya berumur 17 tahun, tapi tiada apa yang boleh kita lakukan, hanya teruskan sahaja kehidupan, kami baik-baik sahaja, setiap tahun sama,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, adik ipar kepada Ketua Pramugari MH370, Goh Sock Lay yang enggan dikenali, sewaktu ditemui dirumahnya di Kampung Tawas di Ipoh baru-baru ini berkata peristiwa yang berlaku itu tidak mahu diingati mereka lagi.

"Kami sudah tidak mahu ingat lagi peristiwa (tragedi MH370), hal sudah lama kami sekeluarga sudah lupa. Apa mahu cerita lagi, ini sedih punya hal tak nak ingat lagi,” katanya.

Dia berkata suami Goh Sock Lay kini bekerja di sebuah kilang sarung tangan di Seremban dan sudah agak lama tidak pulang ke kampung halaman, hanya berhubung dengan mereka sekeluarga menerusi panggilan telefon untuk bertanya khabar.

Lelaki berkenaan berkata mereka sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada kerajaan Malaysia dan mereka tidak mempunyai hak untuk mencampuri misi pencarian penerbangan MH370.

Sementara itu, wakil keluarga kepada salah seorang penumpang MH370, Tan Ah Meng di Kampung Kanthan, Chemor di Ipoh turut mengakui sudah melupakan peristiwa itu.

“Kami sekeluarga sudah lupa kejadian itu, tidak ada apa mahu cakap," katanya menambah, kedua ibu bapa Tan Ah Meng sudah meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Sementara itu, seorang pakar penerbangan Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata tiada petunjuk baru mengenai kehilangan pesawat itu timbul setakat ini, dan keadaan ini kemungkinan menggusarkan ramai pihak.

Namun juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata ada beberapa kes rujukan, yang menyaksikan bangkai kapal terbang dijumpai selepas hilang beberapa tahun dan tidak salahnya jika ada pihak yang ingin meneruskan usaha mencari pesawat Boeing 777 itu.

“Contohnya ialah bangkai kapal terbang Piper dijumpai di Michigan Amerika Syarikat selepas 21 tahun manakala bangkai kapal terbang Learjat yang dijumpai di New Hampshire Amerika Syarikat selepas tiga tahun.

“Di dalam kes-kes itu, usaha pencarian dilakukan secara besar-besaran dan terperinci, namun kesan kemalangan udara itu tidak dijumpai sehingga selepas beberapa tahun kemudian. Ini menunjukkan harapan masih jikalau ada pihak masih berhasrat untuk meneruskan usaha pencarian,” katanya.

Esok genap tujuh tahun pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu masih menanti pengakhiran episod tragis terbabit.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan masih belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula pencarian MH370 atau tidak, kerana setakat ini tiada sebarang bukti baru mengenainya ditemui untuk mengerakkan semula pencarian.

Sumber Kementerian Pengangkutan memberitahu Bernama, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan tragedi tersebut dalam masa terdekat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS