mk-logo
Berita
Sumber: Muhyiddin didakwa elak jumpa Umno bincang syarat baru?

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin didakwa mengelak berjumpa dengan pimpinan Umno bagi berbincang mengenai syarat baru kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyelamatkan gabungan itu.

Ini selepas beberapa percubaan pemimpin Umno berjumpa dengan Muhyiddin sejak mesyuarat Majlis Tertinggi Umno membuat mencapai keputusan untuk kekal menyokong Kerajaan PN.

"PM sepatutnya berjumpa dengan seorang pemimpin utama Umno pada Rabu atau Khamis minggu lepas.

"Tetapi, tidak jadi. Sebabnya PM terlalu sibuk. Sekali lagi, PM tidak dapat jumpa semalam atas alasan dia perlu ke Pagoh."

"Jadi, kami fikir Muhyiddin mengelak berjumpa Umno untuk bincang syarat baru," kata satu sumber terdekat dengan pucuk pimpinan parti kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini syarat-syarat baru yang sepatutnya diserahkan kepada Muhyiddin dalam usaha Umno kekal sokong Bersatu dalam Kerajaan PN.

Menurutnya, kerjasama antara Umno dan Bersatu bergantung persetujuan kedua-dua pihak dalam isu syarat ini.

"Biarpun MT Umno sebelum ini turut membuat keputusan bahawa ahli parlimen Umno akan memberikan sokongan kepada Kerajaan PN namun samada sokongan ini kekal berterusan sangat ditentukan maklumbalas PM terhadap syarat yang akan dikemukakan oleh Umno kelak," katanya.

Untuk rekod, pada 26 Okt, Umno mengumumkan bahawa akan meneruskan sokongan kepada Muhyiddin namun menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Ini selepas keputusan Biro Politik parti itu sebelum ini bahawa memutuskan untuk mempertimbangkan semula sokongan pada PN, memberi syarat baru kerjasama serta mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi sebagai parti politik.

Sumber itu juga memberitahu bahawa mesyuarat MT Umno pada 29 Okt telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memperhalusi syarat-syarat parti itu.

"Umno telah tubuhkan jawatankuasa merangkumi empat orang. Diketuai oleh Timbalan Presiden Mohamad Hasan dan tiga ahli masing-masing Setiausaha Agung Ahmad Maslan, bekas menteri besar Perak Zambry Abdul Kadir dan bekas menteri kewangan II, Johari Abdul Ghani.

"Jawatankuasa ini akan mencadangkan pra syarat kesinambungan kerjasama Umno dan Bersatu," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi beberapa pemimpin Umno dan Bersatu untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, ketika dihubungi seorang ahli MT Umno menafikan dakwaan Muhyiddin mengelak berjumpa dengan pemimpin Umno.

"Tak timbul sebab PM tetap kena jumpa Umno untuk urusan parlimen," katanya yang enggan dinamakan.

Jawatan nombor dua dalam kerajaan persekutuan dikatakan sebagai salah satu tuntutan Umno untuk terus bekerjasama dengan Muhyiddin dan PN.

Tiga nama yang disebut-sebut ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, dan Ahli Pparlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.

Sebelum ini dilaporkan Muhyiddin didakwa tidak mahu melantik Ahmad Zahid Hamidi kerana presiden Umno itu masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.

Lihat Komen
ADS