Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menafikan ada dihubungi mana-mana pihak yang meminta kebenaran khas untuk melakukan perjalanan tidak wajar sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ia susulan satu hantaran di media sosial menjadi tular, berkenaan seorang wanita yang mendakwa bapanya cuba menghubungi Hamid bagi mendapatkan kebenaran untuk dia membuat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang.
"Kecuali bagi kes-kes melibatkan kebajikan golongan OKU (orang kurang upaya) dan pesakit, saya tidak pernah dihubungi oleh sesiapa pun untuk mendapatkan ‘keistimewaan’ bagi melakukan sebarang perjalanan tidak wajar dalam tempoh PKP ini berkuat kuasa.
“Segala peraturan yang terkandung di dalam PKP ini mesti dipatuhi oleh semua pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Free Malaysia Today memetik Hamid sebagai berkata, polis sedang mengesan wanita yang membuat hantaran itu untuk mengambil keterangannya.
Hamid bagaimanapun berkata setakat ini masih belum jelas sama ada individu itu benar-benar melanggar PKP.
Dalam hantaran itu, wanita itu turut mendakwa bapanya kenal Hamid sebagai seorang kawan. Dia bagaimanapun berkata Hamid tidak menjawab panggilan berkenaan.