Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Covid-19: 'Apa tindakan menteri kepada majikan tak bayar gaji?'

Jaminan Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengatakan majikan perlu membayar gaji cuma sekadar untuk mengawal keadaan dan mententeramkan para pekerja yang "terpinga-pinga" mengenai nasib mereka, kata Pengerusi Biro Buruh DAP, A Sivanesan.

Ini kerana, kata Sivanesan yang juga Adun Sungkai, terdapat majikan mengarahkan pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji atau cuti tahunan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang bermula semalam hingga 31 Mac depan.

"Pertama saya menghormati usaha menteri selesaikan isu ini. Tetapi, saya berpendapat bahawa kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KSM) hanya untuk mengawal keadaan sahaja.

"Iaitu metenteramkan golongan pekerja yang masih terpinga-pinga selepas kebanyakan majikan memaksa mereka untuk mengambil cuti tanpa gaji atau cuti tahunan bagi tempoh 14 hari bermula semalam.

"Kerana tiada undang-undang diperuntukan untuk menyelesaikan situasi semasa," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Sivanesan, kerajaan tidak berkuasa untuk menghukum atau mengenakan denda terhadap majikan, khususnya sektor swasta sekiranya tidak membayar gaji kepada pekerja sepanjang tempoh kawalan pergerakan itu.

Semalam, Saravanan memberitahu majikan perlu membayar pekerja gaji dan elaun yang berkaitan, kecuali elaun yang berkaitan dengan kehadiran atau perjalanan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Beliau turut berkata majikan tidak boleh memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan atau bercuti tanpa gaji sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Bagaimanapun, Sivanesan menyoal apakah tindakan yang akan dilakukan kementerian terhadap majikan yang enggan atau tidak mampu bayar gaji.

"Apakah tindakan kementerian? Hanya pekerja boleh mengheret majikan ke proses undang-undang. Tapi, kemunginannya pekerja akan kalah sebab tiada undang-undang untuk menangani situasi semasa.

"Kita mempunyai Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Perjanjian Bersama untuk menjaga kebajikan dan kepentingan pekerja. Namun, tiada undang-undang dalam akta-akta ini yang memperuntukan majikan wajib bayar pekerja sekiranya negara diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Sebab itu, kita boleh nampak MEF (Persekutuan Majikan Malaysia) berpendapat majikan tidak akan mampu memberi pekerja dua minggu cuti berbayar. Mereka (pihak majikan) lebih arif dalam perkara ini berbanding kementerian," katanya.

Perjanjian tiga pihak

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Perintah berkuat kuasa selama 14 hari berkenaan antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Sivanesan yang juga seorang peguam berkata satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah segera mengadakan perbincangan bagi mencapai persetujuan melibatkan tiga pihak iaitu kerajaan, wakil pekerja dan wakil majikan.

"Hanya perjanjian hitam putih antara tiga pihak ini mampu menyelesaikan masalah gaji ini. Sebaliknya, kenyataan kementerian tanpa melibatkan pihak berkepentingan tidak akan membuahkan hasil," katanya.

Bantuan RM600 cuma untuk 33,000 pekerja saja

Sementara itu, Sivanesan turut berkata pengumuman Muhyiddin bahawa pekerja yang berpendapatan RM4,000 atau kurang sebulan yang mengambil cuti tanpa gaji layak mendapat bantuan kewangan RM600 setiap bulan, untuk maksimum selama enam bulan, sebagai tidak masuk akal.

Ini kerana kenyataan perdana menteri bahawa perkara itu akan dilaksanakan melalui Skim Insurans Kerja (EIS) tidak munasabah.

Sivanesan berkata beliau masih tidak faham kenyataan perdana menteri bahawa "kerajaan menyediakan RM120 juta untuk skim ini yang akan melibatkan 33,000 pekerja sedangkan di negara kita mempunyai 13.3 juta pekerja swasta."

"Secara ringkas, negara kita ada 13.3 juta pekerja swasta. Daripadanya hanya 7.3 juta pencarum Perkeso. Baki 6 juta tidak bayar Perkeso. Jadi, bagaimana kerajaan nak bantu melalui Perkeso?

"Kedua, kenapa kerajaan meletak sasaran 33,000 pekerja sahaja di bawah skim EIS sedangkan kita ada 7.3 juta pencarum Perkeso.

"Ketiga dan paling penting, EIS hanya digunapakai bagi pekerja yang diberhentikan kerja (retrenchment) bukan untuk kepada mereka yang dipaksa cuti tanpa gaji.

"Adakah perdana menteri tidak faham ini atau beliau tidak menjelaskan perkara ini secara terperinci?" Soal Sivanesan menjelaskan, selaku peguam dirinya masih sedia membantu kementerian dalam perkara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS