Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Enam beg Foodpanda dilonggokkan di lobi sebuah bangunan mewah 39 tingkat di Kuala Lumpur pagi ini.

'Penghantaran khas' itu dibawa oleh Andy Hickson, Dekan Fakulti Seni dan Komunikasi HELP University.

Lazimnya, pemesan akan menyambut pembawa beg merah jambu itu dengan senyuman, sebelum dihulurkan makanan di dalam beg berkenaan.

Bagaimanapun, selepas hampir dua jam, tiada sesiapa menyambut penghantaran Hickson, yang hadir lengkap bersut hitam dan bertali leher.

Enam beg Foodpanda yang dibawa Hickson juga tidak seperti lazimnya. Ia terpalit dengan kotoran. Di dalamnya berisi botol kosong, tin bir kosong, bekas makanan plastik dan barang buangan lain.

Semua itu, termasuk enam beg berkenaan dikutip dari tempat pembuangan sampah haram berhampiran hospital Orang Asli di Jalan Gombak.

Malaysiakini pada 5 Nov lalu melaporkan penemuan yang dibuat Hickson serta penduduk tempatan berhubung longgokan sampah di kawasan itu.

Pada hari sama, Foodpanda mengumumkan akan melancarkan siasatan segera terhadap dakwaan banyak sampah syarikat itu dibuang di kawasan hutan berkenaan.

Syarikat penghantaran makanan itu juga berkata akan melawat tapak tersebut untuk melupuskan sampah Foodpanda.

Dua hari kemudian, The Star melaporkan Jabatan Kerja Raya (JKR) tampil untuk membersihkan kawasan berkenaan. Ia merupakan satu daripada 10 kawasan pembuangan sampah haram sepanjang 26km Jalan Gombak Lama-Bentong (FT068) di bawah pemantauan jabatan berkenaan.

Bagaimanapun, Hickson hari ini berkata kunjungannya ke kawasan itu pada Sabtu lalu mendapati tiada perubahan dilakukan.

Hickson kemudian mengambil keputusan untuk campur tangan.

"Saya ambil masa kira-kira tiga jam untuk mengisi beg berkenaan dengan pelbagai jenis sampah. Dalam proses itu, tangan saya terluka dan baju saya koyak," katanya.

Kata Hickson, pada mulanya dia tidak rancang untuk menyasarkan Foodpanda, namun selepas mendapati dia kehabisan beg sampah, dia menyedari beg-beg syarikat penghantar makanan itu dapat memuatkan lebih banyak sampah di kawasan berkenaan.

"Saya berjaya membawa keluar 15 beg," kata warga kelahiran Britain itu yang menghabiskan beberapa tahun hidupnya tinggal bersama Orang Asli Temiar di Kelantan.

Sementara menunggu wakil pihak pengurusan Foodpanda tiba, kehadiran Hickson di lobi bangunan itu menarik perhatian individu yang kerja di bangunan berkenaan.

Selepas hampir sejam, sekumpulan polis bantuan diarahkan oleh pengurusan bangunan menghampiri Hickson dan bertanya sama ada dia mempunyai kebenaran rasmi berada di bangunan itu.

Hickson kemudian bertegas bahawa dia tidak akan meninggalkan bangunan berkenaan jika tidak berjumpa wakil Foodpanda. Dia menegaskan bahawa Foodpanda juga tidak mendapat kebenaran untuk membuang beg mereka di kawasan hutan itu.

Selepas polis bantuan gagal memanggil wakil Foodpanda turun, kesemua enam beg berisi sampah itu dibawa ke tingkat 37 yang menempatkan pejabat syarikat penghantar makanan itu.

Hickson kemudian dipanggil untuk berjumpa pengurusan Foodpanda.

"Dua individu yang berjumpa saya ramah. Mereka kata mereka mahu buat sesuatu tentang perkara ini dan memberi gambaran mahu bekerjasama dengan saya," kata Hickson kepada Malaysiakini selepas perjumpaan yang berlangusung kira-kira 30 minit itu.

"Tapi bagi saya, penyelesaian yang lebih baik adalah jika mereka melibatkan penduduk setempat," katanya.

"Penduduk di Gombak, mereka hanya mahu hutan yang bersih. Mereka mahu membersihkan kekotoran ini, sampah yang mencemarkan tanah mereka, mencemarkan sungai dan anak-anak mereka," kata Hickson sambil mencadangkan agar Foodpanda dan kumpulan lain menawarkan insentif kepada penduduk setempat untuk membersihkan kawasan berkenaan.

Ditanya sama ada syarikat itu sedar beg-beg mereka dibuang di kawasan berkenaan, Hickson percaya bahawa Foodpanda tidak bertanggungjawab secara langsung dalam situasi itu.

"Bagi saya secara peribadi, apa yang terjadi ialah siapapun pihak yang membuang beg berkenaan ambil jalan mudah dan buang di situ. Foodpanda kata mereka masih siasat dan mereka pun tidak tahu," katanya.

Malaysiakini masih cuba menghubungi Foodpanda kerana tiada wakil syarikat itu yang boleh dihubungi untuk mengulas isu berkenaan selepas perjumpaan dengan Hickson.


Nota Editor: Malaysiakini telah meminda bahagian yang meyebut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah tampil untuk membersihkan kawasan berkenaan. Bagaimanapun, kerja-kerja sebenarnya dilakukan oleh JKR.

Segala salah faham adalah dikesali.



Lihat Komen
ADS