Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Berlian merah jambu dibeli guna wang 1MDB
Diterbitkan:  Apr 13, 2019 9:20 AM
Dikemaskini: 8:26 AM

Terdapat bukti bahawa berlian merah jambu berharga AS$23 juta yang dikaitkan dengan isteri perdana menteri Rosmah Mansor dibeli menggunakan wang 1MDB.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Khalil Azlan Chik dalam satu kenyataan berkata, jejak kewangan transaksi menunjukkan berlian itu dibeli daripada peniaga barang kemas di New York.

"Walaupun pink diamond tersebut gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun bukti yang terkumpul jelas membuktikan wujud transaksi pembeliannya," kata beliau.

Kenyataan akhbar itu merujuk penafian Rosmah mengenai pembelian barangn kemas berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah pada 8 April lalu mengesahkan bahawa tiada pembelian berlian merah jambu dibuat oleh seorang isteri VVIP.

Susulan itu Rosmah berkata ia membuktikan beliau tidak terlibat dalam pembelian berlian merah jambu dan menyifatkan rakyat lebih suka percaya dengan fitnah berbanding kebenaran.

"Orang ramai pilih untuk mendengar kepada penipuan, pada cerita-cerita tidak benar yang memburukkan saya dan suami saya (Najib Razak).

"Jadi kita hanya perlu laluinya dan malangnya rakyat menderita kerana semua ini, kerana mereka semua pilih untuk percaya penipuan, kerana penipuan lagi menarik dan sedap didengar," katanya

Pada Jun 2018, pihak berkuasa merampas wang tunai, barang kemas, beg tangan mewah dan jam tangan bernilai RM1.1 bilion daripada enam premis yang dikaitkan dengan Najib Razak.

Sebulan kemudian, Rosmah disaman oleh syarikat pemborong barang kemas Lubnan bagi menuntut pulangan barang kemas bernilai AS$ 14.79 juta (RM59.83 juta) yang dikatakan dihantar kepadanya untuk diteliti sebelum pembelian dilakukan. 

Rosmah menafikan beliau membeli barang kemas berkenaan.

Lihat Komen
ADS