Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan berlepas ke Jakarta untuk bercuti selama dua hari mulai esok, kata sumber yang dekat dengan beliau malam ini.
Menurut sumber itu Najib serta isterinya Rosmah Mansor mahu berehat seketika di Indonesia.
"Beliau akan pulang (selepas tamat percutian itu)," katanya kepada Malaysiakini.
Ditanya mengenai spekulasi yang mendakwa pasangan terbabit sebenarnya bercadang melarikan diri dari negara ini, sumber itu menafikanya.
"Semua orang (yang ingin menaiki kapal terbang) ada jadual penerbangan... Jadi mereka (yang membuat spekulasi) boleh pergi (ke lapangan terbang) untuk melihat sama ada beliau melarikan diri bersama beg-beg berisi wang dan lain-lain.
"Isu (lari dari Malaysia) tak berbangkit," katanya.
Sebelum ini orang ramai tertanya-tanya mengenai kemungkinan Najib dan Rosmah mahu meninggalkan Malaysia selepas BN gagal mendapat mandat untuk menjadi kerajaan.
Ia adalah kehilangan kuasa pertama kali dialami BN.
Khabar angin mengenai Najib dan Rosmah tersebar selepas satu imej tangkap layar menjadi tular di media sosial.
Berdasarkan imej berkenaan terpapar nama Mr Najib Razak dan Mrs Rosmah Mansor.
Berdasarkan gambar itu juga sebuah pesawat dengan nombor pendaftaran PK-RJX akan berlepas dari Lapangan Terbang Subang pada jam 10 pagi esok.
Destinasi pesawat udara itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di Jakarta, Indonesia.
Selain gagal mempertahankan Putrajaya beberapa negeri juga jatuh kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir adalah salah seorang pengkritik Najib paling tegar dan beberapa kali menyatakan rancangannya untuk menyiasat presiden Umno berkenaan terutama dalam isu 1MDB.