Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Kekecohan berlaku di majlis doa selamat ulang tahun ke 72 Umno selepas sekumpulan anggota Pemuda Umno 'menghalau' seorang lagi anggota akar umbi parti itu yang menuntut kepimpinan utama parti bertanggungjawab atas kekalahan parti itu pada pilihan raya ke-14.

Sekitar 30 pemuda mensasarkan anggota Pemuda Umno, Mohamad Taqiuddin Halim yang awalnya memberitahu wartawan bahawa semua pemimpin Umno di atas usia 60 tahun patut memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mereformasikan parti itu.

"Mewakili Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, saya ingin bersuara bahawa semua pemimpin parti yang terlibat patut bertanggungjawab, jangan hanya menuding jari kepada presiden parti Datuk Seri Najib Razak," kata Taqiuddin ditemani kira-kira sepuluh orang penyokongnya.

Taqiuddin juga menuntut semua aset Umno yang dipegang pemimpin tersebut perlu dipulangkan kepada parti.

"Kami perlukan arah tuju...Kami perlu tahu ke mana tujuan kami," kata Taqiuddin yang bercakap kira-kira lima minit dan mendakwa mewakili Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Rafii.

Ura-ura Najib lari

Ketika diminta mengulas ura-ura Najib akan lari dari Malaysia, Taqiuddin percaya perkara itu hanyalah persepsi semata-mata

"Itu hanya persepsi. Beliau (Najib) kata dirinya seorang pahlawan Bugis. Saya yakin beliau di pihak yang benar," katanya.

Ketika beliau berjalan dari pintu masuk ke Menara Dato Onn, terdapat kumpulan penyokong Umno yang lebih besar mula 'menyerang' dan menghalaunya dari bangunan PWTC.

Ketika beliau berjalan dari pintu masuk Menara Dato Onn, kumpulan besar penyokong Pemuda Umno mula mengelilinginya dan mula 'menganggu' dan menghalau beliau pergi.

Mereka menjerit dan berkata Taqiuddin tidak layak mendesak pemimpin Umno pada masa sekarang dan harus menunjukkan sokongan kepada Najib.

"Kita sepatutnya di sini untuk tunjukkan Umno kuat," jerit pemimpin kumpulan tersebut.

"Kami tak perlu ahli seperti kamu," teriak seorang lagi.

Ketika ditemui kemudian, Ketua Pemuda Umno Gombak Syed Mohd Imran Syed Abdul Aziz mendakwa tiada siapa kenal Taqiuddin dan menyoal ketiadaan Razlan malam ini.

"Kenapa Razlan tidak buat kenyataannya sendiri. Dalam Umno kita tak dibenarkan untuk buat kenyataan tanpa persetujuan parti," katanya.

Berikutan kekalahan Umno dalam PRU14, anggota Pemuda Umno dari enam negeri, Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor telah mengeluarkan kenyataan mendesak Najib, walaupun Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin masih berdiam diri.

Majlis doa selamat

Awal malam ini, Umno menyambut ulang tahun ke 72 parti itu dengan menganjurkan majlis doa selamat dan makan malam di Menara Dato' Onn di PWTC.

Najib dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir majlis itu yang bermula selepas Maghrib.

Najib tidak memberi sebarang ucapan ketika makan malam berlangsung, sebelum bermesyuarat dan meninggalkan PWTC kira-kira jam 10.30 malam.

Turut kelihatan pemimpin Umno termasuklah Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk seri Mahdzir Khalid, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Mohamad Hasan.
 

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS