Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mana DAP di tiga kedudukan teratas?
Diterbitkan:  Jul 14, 2017 10:53 AM
Dikemaskini: 6:18 AM

Seorang menteri Umno telah mempersoalkan ketiadaan wakil DAP dalam tiga kedudukan teratas dalam barisan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak membangkitkan isu itu dalam satu catatan blog hari ini.

"Kenapa DAP tidak memegang salah satu jawatan tertinggi, sedangkan DAP mempunyai bilangan ahli Parlimen terbanyak dalam Pakatan ini?

"Apakah DAP dipinggirkan atau ini disengajakan supaya pakatan ini dilihat sebagai didominasi oleh orang Melayu?" soalnya.

Dalam barisan yang diumumkan lewat tengah malam tadi, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai pemimpin umum, sementara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusinya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi presiden HARAPAN. Bagi DAP, Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng akan menjadi timbalan presiden HARAPAN, manakala naib presiden DAP dari Sarawak, Chong Chieng Jen, dinamakan naib presiden HARAPAN.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, bagaimanapun, tidak ada dalam barisan kepimpinan itu.

Salleh, yang juga bendahari Umno, kemudian bertanya siapakah di antara tiga pemimpin tertinggi itu, mempunyai kuasa eksekutif dan kata putus terakhir dalam membuat keputusan untuk gabungan tersebut.

Dalam sidang akhbar untuk mengumumkan barisan kepimpinannya, HARAPAN juga mengumumkan logonya dan mengumumkan rancangannya dalam 100 hari pertama selepas mengambil alih Putrajaya, yang termasuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menstabilkan harga petrol.

"Daripada terus berjanji, adalah baik bagi pakatan pembangkang ini menamakan dahulu perdana menteri pilihan mereka. Pelik rasanya apabila ditanya hal ini oleh pemberita, pengerusinya menjawab: kita isytiharkan PM kelapan dahulu. PM ketujuh kita tentukan kemudian.

"Dengan barisan kepimpinan pakatan pembangkang yang sebegini, bolehkah kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui negara? Tentunya tidak kerana masa depan negara bukanlah untuk diperjudikan," tulas Salleh.

Beliau menambah bahawa gabungan parti pembangkang itu tidak sama dengan BN, yang telah teruji kerjasama antara kaumnya dan sikap tolak ansur pemimpinnya tanpa mengabaikan prinsip-prinsip parti.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS