ULASAN | Saya membaca dengan tekun kenyataan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor mengenai keadaan Malaysia hari ini. Apa sudah jadi dengan Malaysia? Walaupun hakikatnya amat perit untuk diakui, namun terasa sedikit terhibur hati saya apabila hal yang saya sering perkatakan dan perjuangkan turut disuarakan oleh seorang tokoh istana.
Saya secara peribadi menjunjung kasih dan merafakkan sembah tahniah di atas keberanian Tunku Mahkota Johor menyatakan kebenaran. Ini membayangkan keprihatinan beliau terhadap keadaan negara dan nasib bukan sahaja rakyat negeri Johor tetapi rakyat Malaysia seluruhnya.
Keluhan Tunku Mahkota Johor mengenai keadaan negara pernah disuarakan oleh institusi Raja-Raja Melayu sebelum ini. Selepas itu, Tunku Mahkota Johor sendiri menjadi antara tokoh istana yang lantang menegur pimpinan negara dan menyeru mereka melakukan perubahan segera untuk kebaikan rakyat jelata.
Namun, teguran-teguran ini dipandang sepi oleh pimpinan negara. Titah Raja-Raja Melayu dan suara istana seolahnya tidak diendah oleh kerajaan.
Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, kerajaan sepatutnya menjalankan urusan negeri dan negara bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan sudah semestilah setiap pandangan dan teguran institusi raja-raja dipandang serius oleh kerajaan.
Apa yang diluahkan oleh Tunku Mahkota Johor bukan sahaja suara hati beliau, tetapi juga suara hari rakyat terbanyak. Ramai orang yang saya temui bertanyakan soalan yang sama iaitu apa sudah jadi dengan Malaysia? Mereka termasuklah sahabat handai, kenalan dan orang ramai yang saya temui di Malaysia dan juga orang asing di luar negara.
Mereka berasa cukup hairan bagaimana Malaysia yang amat dihormati oleh dunia suatu ketika dahulu boleh berubah dengan sekelip mata menjadi bahan cemuhan masyarakat antarabangsa.
Saya diberitahu ada rakyat Malaysia yang pergi ke luar negara malu untuk mengaku mereka adalah rakyat negara ini kerana tidak sanggup dipandang sinis oleh orang luar.
Berlainan sekali keadaannya sebelum ini apabila kita biasanya dengan bangga mengatakan bahawa kita adalah rakyat Malaysia dan rakyat asing dengan pantas memuji Malaysia.
Malaysia tidak lagi dihormati
Pokoknya, Malaysia hari ini bukan seperti dahulu lagi. Malaysia tidak lagi menjadi kebanggaan rakyat. Tidak lagi dihormati oleh dunia.
Puncanya tidak lain kerana pimpinan negara terpalit dengan skandal rasuah, penipuan dan penyelewengan yang berada di tahap yang paling memalukan. Lebih menyedihkan, institusi negara yang sepatutnya berfungsi untuk mengawal kuasa eksekutif, memelihara hak rakyat dan menjamin keadilan gagal berfungsi sama sekali (totally dysfunctional).
Kita tidak dapat bayangkan seorang Perdana Menteri mempunyai wang berbilion ringgit di dalam akaun peribadinya dan wang ini adalah wang yang dicuri daripada syarikat milik negara.
Namun, Peguam Negara tidak mendakwa Perdana Menteri atas alasan Perdana Menteri tidak mengetahui wang itu ada di dalam akaunnya. Sedangkan terdapat bukti yang jelas wang ini telah dibelanjakan untuk kegunaan peribadi.
Undang-undang apakah yang dirujuk oleh Peguam Negara? Di manakah kedaulatan undang-undang? Sudah hilangkah keluhuran perlembagaan?
Jadi bahan jenaka antarabangsa
Tidak hairanlah Malaysia telah berubah menjadi bahan lawak jenaka masyarakat antarabangsa dan dicemuh oleh rakyat sendiri.
Lebih mendukacitakan kita, ketika rakyat berasa amat terbeban untuk membayar harga sekilo ikan kembung dan menanggung GST untuk barangan keperluan harian, isteri Malaysian Official 1 dihadiahkan kalung berlian merah jambu berharga RM117 juta menggunakan wang yang dicuri daripada syarikat milik negara. MasyaAllah!
Dalam sejarah 40 tahun penglibatan saya dalam politik, saya tidak pernah menyaksikan perkara seperti ini berlaku. Orang-orang ini sudah tidak ada sekelumit rasa malu dengan perbuatan curang mereka terhadap rakyat dan negara. Seolahnya mereka boleh terlepas daripada hukuman undang-undang negara dan balasan Allah s.w.t.
Itulah keadaan negara kita. Kedaulatan undang-undang tercalar. Institusi negara dirobek. Hak rakyat sedikit demi sedikit dirampas. Yang curang menjadi kaya-raya. Yang lemah menanggung derita.
Masanya sudah tiba untuk kita melakukan perubahan dan reformasi institusi secara besar-besaran untuk memulihkan negara. Kuasa di tangan rakyat. Apatah lagi jika rakyat dipayungi institusi raja. Bak kata pepatah, rakyat dan raja berpisah tiada. Bangkitlah bersama selamatkan Malaysia!
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN Presiden BERSATU dan bekas timbalan perdana menteri.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.