Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak Report kutip dana £30,000 bagi lawan Hadi
Diterbitkan:  Jun 25, 2017 7:15 PM
Dikemaskini: Nov 4, 2017 9:59 AM

Portal pendedah maklumat, Sarawak Report berjaya mengumpul GB£30,000 (RM160,000) bagi dana guamannya untuk menangkis saman fitnah yang dikemukakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jumlah itu berjaya dikutip dalam masa tiga hari melalui platform dana awam - Crowd Justice. Ketika berita ini ditulis, sebanyak GB£ 30,452 berjaya dikumpulkan menerusi 615 penyumbang.

Pada April lalu, Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcatle-Brown di Mahkamah Tinggi di London.

Abdul Hadi menyaman penulis artikel Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalurkan dana sebanyak RM90 juta kepada PAS, satu tuduhan yang ditolak oleh parti itu.

Susulan itu, Sarawak Report berkata mereka akan berdepan dengan kos guaman yang tinggi bagi memfailkan pembelaan terhadap saman Abdul Hadi.

"Kami percaya ini adalah serangan yang bermotif politik dan mereka yang terlibat mengharapkan kami akan cuba menyelesaikan saman itu daripada mengemukakan pembelaan.

"Kemudian, hasil keputusan itu, dengan disokong oleh mesin propaganda BN yang kuat, mereka akan cuba memburuk-burukkan kami.

"Tolong bantu kami melawan kes ini dan usaha untuk mengatasi ini (dan) banyak lagi percubaan untuk memburuk-burukkan kami,” kata Sarawak Report dalam rayuannya untuk mendapatkan dana awam itu.

Sementara itu, Blogger Raja Petra Kamaruddin, melalui blog Malaysia Today, turut merayu derma untuk membiayai kos guaman Abdul Hadi terhadap Sarawak Report.

"Kos untuk memulakan tindakan undang-undang di UK bukan murah dan akan melibatkan banyak dana, yang difahami, PAS tidak mempunyainya.

"Oleh itu, PAS merayu (kepada) semua penyokong dan ahli untuk menderma dan membantu membiayai tindakan undang-undang di UK ini demi membersihkan namanya," katanya.

Artikel itu menggesa para penyokong supaya mendepositkan wang ke akaun bank parti, oleh itu adalah sukar untuk mengukur sejauh mana sambutan rayuan berkenaan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS