Bermula dengan kejatuhan kerajaan Melayu Islam Melaka, membawa kepada tindakan mahkamah asing ke atas 1MDB, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejarah mengajar bahawa campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara hanya akan membawa kerugian.
Oleh itu, Abdul Hadi berkata mereka yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal Malaysia untuk mendapat keuntungan politik adalah “tidak beriman dan budiman”.
“Saya yakin bahawa mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman,” katanya menerusi surat terbuka yang ditujukan kepada semua parti politik hari ini.
Menurut Abdul Hadi, segala skandal dan kemelut negara perlu diselesaikan secara dalaman, tanpa mengira betapa buruknya sistem dalaman itu.
“Jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.
“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.
“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” katanya.
Skandal 1MDB sekali lagi menjadi tajuk utama antarabangsa dua minggu lalu apabila Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil terbaru untuk merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang diselewengkan dari firma dana pelaburan negara itu.
Antara lain, tuntutan baru itu mendakwa AS$620 juta yang didakwa dipulangkan oleh “Malaysian Official 1 (MO1)” kepada "penderma" sebaliknya disalurkan kepada hartawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low.
Low kemudian didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$27.2 juta untuk isteri MO1.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nberkata mereka tidak akan menyiasat dakwaan itu dan melepaskan tanggung jawab tersebut kepada polis.
Sementara itu, pihak polis berkata mereka tidak akan mengganggu kes sivil yang dibawa oleh DOJ.
Selain DOJ, Suruhanjaya Penyeliaan Sektor Kewangan Luxembourg (CSSF) Rabu lalu mendenda bank swasta Edmond de Rothschild sebanyakEUR8.985 juta (RM43 juta) atas kelalaian peraturan dalam hubungan dengan pengubahan wang haram membabitkan urusaniaga 1MDB.