Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjelaskan bahawa parti itu hanya mencadangkan bahawa jawatan pengerusi Pakatan Harapan sahaja untuk disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dan BERSATU sedia berkompromi bagi jawatan presiden HARAPAN atas semangat musyawarah, kata Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Md Nor.
Beliau membuat penjelasan demikian sebagai merujuk kepada laporan media mengenai struktur Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dicadangkan oleh BERSATU.
"Saya ingin menjelaskan bahawa pendirian BERSATU ialah hanya jawatan pengerusi sahaja yang dicadangkan untuk disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, cadangan asal BERSATU untuk meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden HARAPAN adalah untuk memantapkan kepimpinan pakatan itu secara keseluruhannya dalam menghadapi PRU14.
Katanya, cadangan itu dibuatkan berasaskan pengalaman luas Muhyiddin menerajui jentera pilihanraya.
Namun, kata Kamaruddin, BERSATU sedia berkompromi bagi jawatan presiden HARAPAN atas semangat musyawarah.
"Pendirian ini telah disampaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 9 Jun 2017," jelasnya.
Justeru, tambahnya, tidak timbul isu BERSATU ingin mendominasi HARAPAN dengan menguasai jawatan pengerusi dan presiden seperti yang diulas oleh beberapa orang tokoh politik dan dilapor oleh media.
BERSATU, tegasnya, bersedia untuk menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu sekiranya dipersetujui secara sebulat suara oleh parti-parti yang lain.
"Ini penting untuk memastikan kesepakatan dalam kalangan parti-parti pembangkang dan tumpuan utama diberikan kepada usaha untuk memenangi PRU14," katanya sambil buat masa ini, BERSATU sedang menunggu jawapan rasmi daripada Sekretariat HARAPAN Mengenainya.