Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menafikan bahawa pejabatnya mengeluarkan kad nama kepada isterinya, Datin Seri Haflin Saiful.
Beliau berkata kementeriannya melarang penerbitan sebarang jenis kad nama kepada bukan kakitangan.
"Dia bukan kakitangan kementerian, itu palsu.
"Ada orang luar yang cuba kenakan saya,” kata Nazri yang dipetik portal The Star Online.
Rabu lalu, sekeping gambar yang memaparkan kad nama "Datin Seri Haflin S" menjadi tular di media sosial.
Jawatan yang dipaparkan pada kad itu adalah "Isteri - Menteri Pelancongan Kebudayaan Malaysia".
Kad itu juga memuatkan alamat pejabat kementerian di Putrajaya, bersama nombor telefon dan alamat e-mel.
Namun, cubaan untuk menghubungi Haflin melalui nombor telefon dan laman Instagram yang dipaparkan itu tidak berjaya.