Paling Popular
Terkini

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan telah menahan empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas IS.

Katanya, empat lelaki berkenaan - tiga warganegara Indonesia dan seorang rakyat tempatan itu ditahan semalam di Sandakan, Sabah dan Isnin lalu di Slim River, Perak.

"Pada 12 hari bulan, kita telah tangkap seorang ahli IS warga Indonesia di Slim River.

"Semalam pula kita tangkap tiga lagi orang di Sandakan, dua Indonesia dan seorang rakyat tempatan dari Sabah yang sedang merancang untuk ke Marawi.

"Kita telah mengesan mereka serta niat mereka dan kita tangkap sebelum mereka terlepas ke Marawi," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menurut Khalid lagi, semua individu yang ditangkap berusia antara 30 hingga 48.

Malah, warganegara Indonesia yang ditangkap itu turut mempunyai pasport, katanya.

Selain itu, katanya, pihak polis juga berjaya merampas tiga bilah pisau Rambo yang baru dibeli yang didakwa untuk kegunaan menyerang polis sekiranya mereka ditahan, semalam.

"Alhamdulillah, mereka tak sempat guna senjata itu semasa kita tangkap," katanya.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan, polis menahan dua lelaki disyaki anggota kumpulan pengganas berhampiran Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri, Sandakan.

Laporan itu menyebut, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Cawangan Khas dalam operasi kira-kira jam 12 tengah hari.

Gambar serta video tangkapan kedua-dua suspek turut tersebar di laman sosial.

Ia memaparkan, sepasukan polis menutup muka dan lengkap bersenjata berkawal di sekitar lokasi tangkapan sehingga menggemparkan orang awam ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS