GLOBAL Penghuni beragama Islam yang menjalani ibadah puasa, menjadi antara hero yang telah menyelamatkan penghuni lain di Grenfell Tower, apabila menjadi individu awal menyedari kebakaran itu.
Penduduk muslim berkenaan kemudian mengejutkan jiran-jiran lain dengan mengetuk pintu rumah mereka bagi menyelamatkan nyawa, sesetengahnya membahayakan nyawa sendiri.
Rashida, seorang penduduk tempatan memberitahu Sky News, ramai penghuni muslim yang berjaga untuk menunggu waktu bersahur ketika kejadian berlaku.
"Kebanyakan Muslim yang menjalani ibadah Ramadan biasanya tidak akan tidur sehingga kira-kira pukul 2 pagi, atau mungkin jam 2.30 pagi, kerana mereka bersahur.
"Oleh itu, kebanyakan keluarga di sekitar sini akan berjaga dan saya fikir ditambah dengan bunyi helikopter, ia menarik perhatian banyak penduduk termasuk bukan Islam, yang akan fikir sesuatu yang tidak kena berlaku," katanya.
Dia berkata penghuni di situ terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama yang hidup aman damai antara satu sama lain.
“Anda boleh berjalan-jalan dengan selamat pada lewat malam, kami semua kenal antara satu sama lain,” katanya.
Nadia Yousuf, 29, memberitahu penghuni muslim adalah antara individu pertama melihat kebakaran itu, kerana mereka bangun untuk menyediakan sahur.
"Mereka melihat api selepas mereka bangun untuk makan", katanya.
Sekurang-kurangnya 12 maut dan lebih 70 lagi cedera dalam kebakaran besar yang memusnahkan sebuah blok kediaman 24 tingkat di London semalam.
Kejadian itu berlaku dua minggu selepas serangan pengganas di London Bridge yang mengorbakan tujuh nyawa.