Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli politik India dilarang masuk ke Malaysia
Diterbitkan:  Jun 9, 2017 6:02 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Ahli Politik India, Vaiko ditahan oleh pegawai Imigresen selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini dan dilarang memasuki ke negara ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

"Oleh kerana dia disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini. Itulah sebabnya dia tidak dibenarkan masuk," katanya kepada Malaysiakini, tanpa menyatakan sebab larangan.

Vaiko adalah pengasas dan setiausaha agung parti politik Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK) dan telah dijemput ke negara ini oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya esok.

Vaiko menaiki penerbangan MH181 dari Chennai dan tiba di Terminal 1 KLIA pada pukul 6.30 pagi sebelum dia ditahan.

Berita penahanannya mula diketahui apabila Times Of India menyiarkannya di Twitter pada 2.47 petang tadi.

"Beliau masih di lapangan terbang, tunggu pesawat seterusnya untuk balik ke India," kata Ramasamy.

Berdasarkan kenyataan MDMK, pihak berkuasa imigresen Malaysia memberitahu Vaiko bahawa namanya disenarai sebagai individu berbahaya kepada Malaysia dan mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri lanka," lapor The Indian Express.

Dakwaan yang sama dibuat oleh portal India Republic di Twitter yang mengatakan Vaiko disoal beberapa jam mengenai hubungannya dengan LTTE.

Mustafar bagaimanapun masih belum mengesahkan perkara itu.

Menurut Ramasamy, Vaiko dibenarkan untuk melawat Malaysia pada tahun 2014 dan 2015.

Bagi perjalanan kali ini, beliau telah mendapat kelulusan visa dalam talian dan jabatan imigresen juga telah memberi lampu hijau terhadap kedatangannya.

"Dia adalah seorang yang lantang dan ahli politik yang terlibat dalam hak-hak Tamil di Tamil Nadu, tetapi bukan seorang penyokong kumpulan LTTE," dakwanya.

Beliau berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri mengenai perkara itu.

Vaiko, nama penuhnya V Gopalsamy, sebelum ini memilih untuk dipenjarakan dari 3 April hingga 25 Mei tahun ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan hasutan ke atas ucapan yang dibuatnya pada tahun 2009, lapor The Times of India.

Beliau ditangkap atas kesalahan menghasut kali pertama pada tahun 2008.

Pada tahun 2002, beliau ditahan di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Keganasan India (Pota) kerana menunjukkan sokongan kepada LTTE.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS