ULASAN | Saya mengikuti perbincangan hangat di kalangan semua parti yang berjuang menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan begitu galak menamakan calon perdana menteri, kecuali PAS tidak mencalonkan sesiapa.
Dahulunya ada pemimpin jadian dalam PAS juga berwirid dengan nada yang sama. Sekarang sudah meninggalkan PAS.
Semua pihak berasa hairan mengapa PAS diam membisu?
Adapun ahli dan penyokong PAS yang sangat setia sanggup tidak berpeluh dan berpecah kepala bertanya siapa calon sama ada jawatan penghulu kampung, anggota dewan undangan negeri, parlimen dan jauh sekali siapa calon perdana menteri.
Ketika PRU ke-13 dahulu, duta AS minta mahu bertemu saya, setelah dia membatalkan kesediaannya datang ke Ibu Pejabat PAS. Saya pula dijemput datang ke rumahnya.
Dengan rasa kehairanan saya pergi juga, ditemani kawan terdekat Datuk Mustafa Ali dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, setiausaha politik saya.
Duta itu ditemani dua pegawai dengan seorang daripadanya datang dari AS.
Saya menjangkakan dia akan bertanya soalan hudud yang biasanya dijadikan senjata menghina Islam. Rupanya ia sekadar perbualan politik secara umum, khususnya berkaitan PRU.
Apabila saya bertanya, mengapa AS bersama kerajaan diktator di beberapa negara Islam sehingga kalau parti Islam menang, dibatalkan ia dengan kuasa tentera. Dan ada juga negara Islam yang tidak menjalankan pilihan raya, padahal AS adalah negara besar paling lantang mendukung demokrasi.
Dia menjawab bahawa polisi AS tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.
Akhirnya, dia bertanya saya: Siapakah PAS calonkan menjadi perdana menteri Malaysia kalau menang PRU? Saya menjawab secara sepontan: Siapakah calon yang dipersetujui oleh AS?
Mereka semua ketawa besar, kemudian terdiam.
PAS menyambung perjuangan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW mengikut al-Quran dan sunnah serta diriwayatkan oleh para ulama dalam kitab-kitab yang banyak.
Baginda SAW bersabda: Demi Allah! Aku tidak melantik orang yang meminta jawatan atau rakus mahukan jawatan. Hadisnya juga: Antara kemusnahan umatku pada akhir zaman (ialah) apabila jawatan menjadi pemimpin dianggap peluang untuk diri, keluarga dan kroni.
Pengalaman Rasulullah
Namun, Islam tetap mewajibkan adanya pemimpin bernama raja atau mengikut istilah zamannya. Allah memuji dalam al-Quran tentang Nabi Daud AS menjadi khalifah, Nabi Sulaiman AS menjadi raja dan Zulqarnain - bukan nabi - menjadi raja. Semua mereka berlaku adil.
Apabila para pemimpin Mekah yang menentang Islam berasa sangat tercabar dengan pengaruh Islam yang makin berkembang, mereka menghantar rombongan menawarkan jawatan raja atau ketua kepada Rasulullah SAW, tetapi ditolak baginda.
Kemudian mereka meminta Abu Talib, bapa saudara kesayangan Rasulullah memujuk supaya menerima tawaran berkenaan dengan mengekalkan sistem jahiliah dan meninggalkan Islam.
Tiba-tiba jawapan Rasululah SAW sangat tegas: Demi Allah! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan menegakkan Islam ini atau aku mati kerananya, nescaya aku tidak akan meninggalkan perjuangan ini.
Apabila keadaan wajib mencari tempat berhijrah, lalu Rasulullah berjumpa dengan para pemimpin kabilah Arab yang berhimpun di musim haji untuk berdakwah dan menyampaikan janji Allah dengan kemenangan Islam.
Sebahagian besarnya tidak peduli. Akhirnya baginda berjumpa dengan pemimpin Bani Amir yang besar jumlah penduduknya. Dia tertarik dengan janji kemenangan, dan terus bertanyakan Rasulullah SAW: Siapakah yang menjadi ketua apabila sudah menang?
Sabda Rasulullah: Itu adalah ketentuan mengikut kehendak Allah! Pemimpin Bani Amir menjawab: Tidak guna kami mencari susah bersamamu.
Seterusnya baginda bertemu pemimpin Bani Syaiban untuk mengajak mereka bersama dengan Islam dan Allah menjanjikan kemenangan. Mereka bertanya: Apakah Islam? Sabda Rasulullah SAW: Islam itu percaya kepada Allah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, mengajak kepada keadilan dan kebajikan dan melarang kejahatan dan kemungkaran.
Mereka menjawab: Kami percaya ajarannya benar, tetapi bahayanya sangat besar, kerana seluruh dunia khususnya negara Parsi yang terdekat akan menentangnya.
Rasulullah SAW bersabda: Percayalah bahawa Islam akan menang, tetapi mestilah bersedia menghadapi segala cabaran yang datang daripada segenap penjuru. Namun apabila kamu mendapat berita kemenangannya nanti, sila datang bersama kami.
Terima walau bukan PAS
Akhirnya, baginda menemui kabilah ‘Aus dan Khazraj yang datang ke Madinah. Mereka masuk Islam dan berbaiah bersama Islam tanpa peduli apakah bahaya dan tidak bertanya tentang jawatan apabila mencapai kemenangan.
Rasulullah SAW menunjukkan qudwah (contoh) supaya menegakkan Islam yang penuh adil dan baiknya kepada seluruh manusia dengan ikhlas. Baginda melarang para sahabat meminta-minta jawatan.
Orang yang meminta jawatan dan terlalu inginkannya adalah orang yang meringankan kewajipan menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dan Allah tidak menolongnya. Tetapi kalau orang itu tidak meminta-minta namun diberi jawatan supaya memegang amanah, nescaya diberi pertolongan Allah.
Rasulullah menerima Najasyi (Raja Habsyah), Raja Musqat, Raja Oman dan Raja Bahrain di zamannya apabila mereka menerima Islam. Rasulullah juga mengekalkan raja dan pemimpin bukan Islam yang tidak bermusuh dan tidak zalim.
Semua para Khulafa ar-Rasyidin tidak mencalonkan diri masing-masing menjadi khalifah.
Apabila Umar Abdul Aziz diminta menjadi khalifah, dia hanya sepupu kepada khalifah sebelumnya, Sulaiman Abdul Malik.
Sulaiman menerima cadangan para ulama supaya tidak melantik puteranya sebagai pengganti.
Umar terkejut dan menganggap pelantikan itu sebagai bala bencana buat dirinya, namun tetap menjadi amanah Allah.
Dia terus ke masjid, menaiki mimbar dan menyampaikan ucapan: Saya telah dicalonkan menjadi pemimpin kamu. Jawatan ini adalah juga hak kamu yang tidak boleh dipermainkan. Adakah kamu semua bersetuju saya yang dipilih?
Apabila seluruh jemaah bersatu suara dengan kuat mempersetujuinya maka Umar menerima pelantikan itu dan bertugas dengan cemerlang.
PAS jangan terpengaruh dengan budaya politik lain daripada Islam. Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menegaskan: Kita wajib terima siapa sahaja yang menerima Islam walaupun dia bukan PAS.
Firman Allah SWT (bermaksud): Ikutlah orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (Yasin: 21)
Ingatlah kepada slogan Muktamar PAS terakhir. Sejahtera Bersama Islam.
DATUK SERI ABDUL HADI AWANG ialah presiden PAS.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.