GLOBAL | Ketika pertempuran berlanjutan dan nyawa menjadi begitu murah, orangawam di Marawi tidak memilih apa-apa kecuali saling membantu antara satu sama lain.
Perbezaan agama bukanlah faktor untuk mereka bersikap memilih mana yang perlu diselamatkan dan mana yang mesti dibiarkan.
Semalam, tentera Filipina memberitahu lebih 160 orang - termasuk hampir 50 kanak-kanak - diselamatkan daripada konflik antara pasukan keselamatan dengan pemberontak Maute.
Marawi adalah lokasi konflik paling panas melibatkan kedua-dua pihak di selatan Filipina sejak ia tercetus sejak 23 Mei lalu.
Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang awam dan 38 anggota tentera terbunuh sehingga semalam. Korban melibatkan pengganas pula sebanyak 120 orang.
Seorang daripada penduduk Marawi yang berjaya keluar dari kawasan perang itu ialah penulis dan bekas ahli politik, Noor Lucman.
Bercakap kepada Reuters, dia yang pernah belajar di Arab Saudi itu berkata, rumahnya menjadi antara lokasi persembunyian penduduk beragama Kristian.
"Ada 64 orang dan saya bertekad mahu memastikan tiada apa-apa yang buruk berlaku pada mereka," katanya.
Sebahagian daripada penganut Kristian itu adalah tukang yang melakukan kerja-kerja membaik pulih di kawasan kediaman Noor Lucman sehari sebelum anggota kumpulan Maute menyerang Marawi.
Krisis itu menyebabkan mereka terperangkap dan terlalu berbahaya untuk meninggalkan kawasan bandar berkenaan.
Noor Lucman berazam untuk melindungi mereka dengan nyawanya.
"Mereka perlu melangkah mayat saya sebelum mengapa-apakan penganut Kristian itu," katanya.
Ketika anggota kumpulan Maute - yang mempunyai kaitan dengan Daesh - itu datang, mereka segera mengenali Noor Lucman dan menunjukkan rasa hormat dengan meninggalkan rumah itu apabila diminta.
"Mereka tidak menyangka saya menyembunyikan orang Kristian. Kalau mereka tahu orang Kristian itu tentu dipancung atau dibunuh," katanya.
LOOK: PNP-SAF recovers their APC in Marawi that was captured by Maute on the first day of the conflict | @EdSevidalDZMM #MarawiClash pic.twitter.com/6XzCXk8yvp
— ABS-CBN News (@ABSCBNNews) June 3, 2017
Ketika perang semakin sengit - dan tentera turut mengakui usaha mematahkan kumpulan berkenaan tidak semudah yang dijangka - Noor Lucman mengambil inisiatif menyelamatkan penganut Kristian terbabit.
Tambahan pula mereka mendapat tahu tentera merancang mengebom kawasan bandar itu jika anggota pengganas enggan mengalah.
Justeru Noor Locman nekad untuk membawa penganut Kristian itu ke tempat selamat walaupun itu bermakna mereka perlu berdepan dengan pelbagai bahaya, termasuk penembat curi.
"Jika tidak, mereka mungkin mati kebuluran. Lebih baik kami mencuba nasib sambil berdoa jika ada sesiapa yang menahan, mereka tidak bertanya mengenai agama.
"Kalau terserempak dengan militan, biasa mereka akan meminta seseorang membaca ayat al-Quran. Kalau gagal, mereka akan bunuh," katanya.
Dianggarkan lebih 2,000 orang awam masih terperangkap di Marawi ketika ini, manakala jumlah pengganas dipercayai seramai kira-kira 250 orang.
Sumber keselamatan Filipina mendakwa, anggota kumpulan Maute itu terdiri daripada rakyat pelbagai negara, termasuk orang tempatan, Arab Saudi, Chechnya dan Pakistan.
Putrajaya pula mengesahkan tiga rakyat Malaysia sudah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina.