Anggota Parlimen Kelana Jaya Wong Chen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara audit yang dijalankan ke atas pusat khidmatnya oleh Perbendaharaan Negeri Selangor.
Menurut Wong Cheng, audit yang dijalankan pada Mac 2016 ke atas perbelanjaan di pejabat beliau di Kelana Jaya pada 2014 dan 2015, dibuat tanpa pengetahuannya.
"Perbendaharaan Negeri Selangor tidak cuba beritahu kami, melawat pejabat atau mendapatkan penjelasan daripada kakitangan saya.
"Audit itu dilakukan secara misteri dan tanpa melalui proses yang adil dan sewajarnya," katanya dalam laman Facebook yang panjang hari ini, sambil menambah beliau menerima laporan audit itu pada 2 Februari 2017.
Disebabkan perbelanjaan tahunan sebanyak RM250,000 untuk pengundi di kawasannya perlu melalui proses melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, beliau berpendapat perbendaharaan negeri sepatutnya turut melawat pejabat berkenaan.
Bagaimanapun, Wong berkata, apabila beliau bertemu Pegawai Daerah dan pegawai kewangan di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, mereka tidak ingat sebarang lawatan audit dibuat.
"Walaupun terus jadi misteri bagaimana audit dilakukan pada 1 Mac hingga 3 Mac 2016, ketidakpuasan saya dengan perbendaharaan negeri Selangor pada dasarnya lebih kepada penemuan audit itu," kata beliau.
Walaupun tiada dakwaan amalan rasuah dalam penemuan audit berkenaan, Wong Chen berkata, beliau berasa pejabatnya dinafikan hak untuk mengetahui penemuan audit yang tidak mematuhi garis panduan Selangor.
"Malah, kami membantah semua penemuan audit yang pada pendapat kami, ada yang tidak berasas dan ada yang boleh dijelaskan dengan mudah dengan bertanya kakitangan saya dan meminta dokumen," katanya.
Antara enam penemuan audit yang menimbulkan tidak puas hati kepadanya, salah satunya adalah tumpuan sebahagian besar bantuan kewangan yang diberi kepada penduduk miskin di kawasan Desa Mentari.
Katanya, dapatan itu dengan mudah boleh dijelaskan kerana ramai pengundi miskin di Kelana Jaya adalah dari kawasan Desa Mentari.
"Kenapa saya perlu beri bantuan kebajikan kepada orang yang tinggal di pinggir bandar kelas pertengahan di Subang Jaya? Sama sekali tidak ada garis panduan oleh kerajaan Selangor yang menyatakan kami tidak boleh beri bantuan kebajikan berdasarkan zon geografi," katanya.
Satu lagi penemuan audit berkenaan adalah pejabat Wong Chen telah memberi bantuan kewangan kepada 68 individu miskin yang sama pada tahun 2014 dan 2015.
"Penemuan ini mudah dijelaskan oleh fakta bahawa semua 68 individu miskin dan terdesak pada tahun 2014 itu kekal miskin dan terdesak pada 2015," kata Wong Chen.
Malaysiakini telah cuba menghubungi Perbendaharaan Negeri Selangor tetapi tidak berjaya.