Ahli Parlimen PAS Nik Abduh Nik Aziz hari ini menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak ‘mengangkat’ anaknya, Datuk Seri Mukriz dalam arena politik, kerana bekas perdana menteri itu berkemungkinan akan berakhir dengan menjatuhkannya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai allahyarham bapanya dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya, walaupun Mahathir berjaya mengalahkan semua musuh politiknya, namun beliau tidak pernah menang melawan perjuangan politik Nik Aziz.
"Dendam Mahathir belum berakhir dan mungkin juga Allah inginkannya kekal begitu justeru dendam dan bencinya kepada PAS adalah berterusan," katanya yang dipetik Harakahdaily.
Nik Abduh mendakwa Mahathir amat gembira melihat PAS berpecah tetapi beliau malu melihat bagaimana bekas pemimpin PAS yang menyokongnya hari ini amat lemah manakala PAS semakin sejahtera, maju dan mara menuju cita.
Sambil menggesa pemimpin berusia 92 tahun itu supaya bertaubat dan dan kembali ke tikar sejadah kerana ia jalan terbaik untuk dirinya di hujung hayat, katanya: "Tak payahlah buat kerja lu langsi lu mati yang berulang-ulang sejak muda sampai tua.”
“Angkat Musa Hitam, pecat Musa Hitam. Angkat Ghafar Baba, pecat Ghafar Baba. Angkat Anwar, pecat Anwar. Angkat Pak Lah, pecat Pak Lah. Angkat Najib, ni nak pecat Najib pulak.
"Saya nasihatkan dia jangan pulak angkat Mukhriz. Nanti Mukhriz pun dipecatnya. Rakyat Malaysia pun, saya nak nasihat baik-baik," katanya
Nik Abduh berkata, walaupun Mahathir perlu dihormati tetapi demi masa depan negara yang lebih sejahtara adalah lebih baik pemimpin veteran yang kini adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibiarkan berehat menuju Allah.
"Generasi baru perlu memilih Islam sebagai panduan hidup. Mari menuju sebuah negara sejahtera dengan Islam," katanya.
Mahathir menimbulkan kemarahan penyokong PAS apabila beliau baru-baru ini mengungkit semula bagaimana Nik Aziz pernah berkata bahawa Tuhan juga mencarut walaupun telah menjelaskan isu berkenaan.
Penyokong Najib menuduh Mahathir cuba untuk merancang memastikan Mukhriz yang kini adalah timbalan presiden BERSATU menjadi perdana menteri.