Bekas perdana menteri keempat Tun Mahathir Mohamad hari ini mengimbau kembali nostalgianya sebagai budak 'nakal' yang takutkan guru.
“Saya dulu boleh dikatakan seorang yang agak 'nakai' (nakal) di zaman kecil saya, saya mai dari Kedah, jadi sudah tentu lumrah zaman tu kalau balik mengaji 'dok main kat bendang' walau dipesan berkali-kali akan bahayanya.
“Tapi saya dan kawan-kawan cukup takut kalau nampak guru mengaji atau cikgu sekolah lalu kerana kami tau 'akibatnya'.
“Apatah lagi kalau guru-guru saya ini melaporkan pada bapa saya yang merupakan seorang pengetua lagilah saya akan didisiplinkan. Pernah? Semestinya ya!” katanya.
Menulis di Facebook sempena sambutan hari guru hari ini, katanya, golongan itu sebenarnya bukan ditakuti tetapi dihormati kerana tugas mereka mendidik anak bangsa.
Bagaimanapun, ketika mengulas peranan guru, Mahathir nampak perbezaannya antara zaman sekarang dengan kualiti yang dipamerkan sebelum ini.
“Namun guru sekarang tidak mampu memainkan peranan lebih dari mengajar subjek-subjek di sekolah walau seakan segala hal dipertanggungjawabkan kepada mereka.
“Di kampung-kampung, gurulah orang yang paling bijak pada masa dulu, mereka amat dihormati sehinggakan segenap peranan dalam membangunkan masyarakat di kampung-kampung dimainkan oleh golongan pendidik,” katanya.
Malah, kata Mahathir lagi, golongan pendidik memainkan peranan aktif dalam politik termasuk mengasaskan parti-parti politik.
“Bukan macam sekarang, politik dikuasai mereka yang gilakan untuk berniaga dan mencari keuntungan peribadi, akhirnya tiada nilai lagi kerana gurunya adalah wang!
“Apapun saya ucapkan Selamat Hari Guru buat para pendidik di Malaysia, teruskan menabur bakti dan jasa demi membina anak bangsa tercinta,” katanya pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.