Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, meminta rakyat negeri itu agar 'mempersetankan' pihak yang mengadu domba mengenai kestabilan politik di Selangor.

Malah, Azmin yang juga timbalan presiden PKR memberi jaminan, pentadbiran kerajaan negeri akan kekal stabil dan utuh demi kesejahteraan rakyat Selangor.

"Kita persetankan yang mabuk mencari publisti dan populariti murahan.

"Mana-mana pihak temasuk individu atau kumpulan yang cuba mengkhianati amanah ini akan kita perangi habis-habisan.

"Kita akan terus fokus untuk menggalas amanah ini, demi memberi perkhidmatan terbaik," kata Azmin ketika berucap di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 dan Anugerah Jasamu Dikenang 2017 di Shah Alam, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam catatan di blognya baru-baru ini berkata, konflik dalaman dan perpecahan dalam pakatan pembangkang tidak baik untuk pembangunan negara yang memerlukan kestabilan politik.

Sangka baik atau tidak

Sementara itu, mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin, yang menyaranan exco PAS diketepikan segera, Azmin berkata itu hanya cadangan dan menghormatinya.

Bagaimanapun, Azmin menegaskan tidak akan ada sebarang rombakan kebinet ketika ini.

Sebaliknya, kata Azmin, keseluruhan anggota kabinetnya akan terus berkhidmat sehingga akhir penggal ini.

"Semua pihak boleh beri pandangan tapi saya telah nyatakan, kemenangan besar dalam pilihan raya lepas adalah kemenangan rakyat.

"Rakyat yang memilih bukan saya yang memilih. Rakyat memilih 15 kerusi PAS, rakyat pilih 15 kerusi DAP, rakyat pilih 14 kerusi PKR.

"Dengan gabungan ini kita bentuk kerajaan dan itu adalah mandat rakyat dan saya akan tunduk kepada rakyat, kita akan kerja sehingga habis penggal," kata Azmin.

Shazni hari ini dilaporkan berkata ‘bola’ kini berada di kaki Azmin dan terserah kepada ADUN Bukit Antarabangsa itu untuk terus bersangka baik dengan PAS atau merombak kabinet negeri bagi mengukuhkan Pakatan Harapan.

"Muktamar terima untuk putus tahaluf siyasi dengan PKR, setelah berkerat rotan dengan AMANAH dan DAP sebelumnya, maka di mana relevannya untuk PAS kekal dalam kabinet negeri?” katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS