Bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, menegur pimpinan partinya yang dianggap bongkak dalam percaturan mereka menghadapi pilihan raya.
Kata Mahfuz, kenyataan supaya parti pembangkang lain memberi laluan PAS bertanding berdepan dengan Umno tidak wajar dibuat oleh mereka ketika ini.
Pada masa sama, kata beliau, kenyataan seumpama itu akan menyebabkan PAS kehilangan sokongan pengundi.
"Ahli tegar PAS mungkin akan rasa seronok. Tetapi PAS kena ingat yang kemenangan PAS dulu bukan bergantung kepada undi dan sokongan ahli PAS semata-mata," katanya dipetik Sinar Online hari ini.
Kelmarin seorang daripada pimpinan utama PAS menyatakan, parti lain tidak boleh meletakkan calon masing-masing di kerusi yang ditandingi PAS bagi berdepan dengan Umno.
Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu berlaku pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.
Dan ketua penerangan Dewan Ulama PAS itut sekali lagi menegaskan kesungguhan PAS bertanding di 80 kerusi parlimen.
"PAS bertanding di 80 kerusi Melayu berhadapan dengan Umno. Pakatan Harapan jangan masuk. Parti Amanah Negara (AMANAH) jangan masuk. PBBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia -- BERSATU) pun jangan masuk. PKR bertanding di kerusi mereka PRU ke-13. DAP pun sama. Dua penjuru akan berlaku," katanya melalui kemas kini status di Facebook.
Tak pernah menang
Tetapi, kata Khairuddin, tidak dapat dipastikan sama ada AMANAH sanggup untuk tidak bertanding dalam pilihan raya.
"Atau mahukah PKR dan DAP untuk memberikan laluan kepada AMANAH di kerusi mereka tanpa menyentuh kerusi tradisi PAS pada PRU ke-13?" katanya.
Seorang lagi pimpinan utama PAS sebelum ini menyatakan 'sifir' 80 kerusi itu adalah jalan untuk parti berkenaan menawan Putrajaya.
Pesuruhjaya PAS Perak merangkap Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Razman Zakaria, berkata dengan kemenangan mereka di 80 kerusi parlimen, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menjadi perdana menteri.
Menurut percaturan Razman, keadaan itu dapat berlaku dengan 'sumbangan' 40 lagi kerusi daripada Umno dan 45 lagi daripada parti di Sabah dan Sarawak.
Mahfuz berkata kenyataan sebegitu tidak membantu untuk PAS membina keyakinan masyarakat terhadap mereka, malah akan menjauhkan pengundi terutama di kalangan bukan ahli parti.
Katanya, dari segi lain kenyataan Khairuddin juga seolah-olah menggambarkan rasa cemas PAS untuk menghadapi PRU ke-14.
"Pas sepatut berundinglah. Bertanding tak sampai 80 kerusi dulu pun PAS tak pernah menang," katanya yang mempunyai pengalaman lama dalam parti berkenaan.