Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Datuk Seri ditahan kes skandal tanah Yayasan Bumiputra
Diterbitkan:  Apr 11, 2017 9:38 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Datuk Seri dan anaknya - yang bergelar Datuk - berhubung siasatan skandal tanah melibatkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.

Kedua-dua mereka adalah pegawai sebuah syarikat pemaju harta tanah terkemuka di Pulau Pinang dan syarikat berkenaan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Dalam kenyataannya hari ini, SPRM berkata, tangkapan berkenaan dibuat ekoran siasatan agensi antirasuah itu yang telah menangkap seorang pemegang amanah yayasan tersebut pada 29 Mac lalu.

Suspek ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.

"Kedua-dua suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukan mereka dan menjual tanah milik anak syarikat yayasan tersebut tanpa melalui proses dan tatacara yang ditetapkan dengan harga jauh lebih rendah daripada harga asal.

"Perbuatan mereka dipercayai mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu," kata kenyataan SPRM.

Datuk Seri berusia 74 tahun itu - merupakan penasihat syarikat pemaju tersebut - ditangkap di Pejabat SPRM Pulau Pinang, manakala anaknya - pengarah urusan syarikat - ditangkap di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Kedua-dua tangkapan tersebut dibuat kira-kira jam 7 malam ketika mereka hadir untuk memberi keterangan membantu siasatan kes tersebut.

Kata SPRM syarikat pemaju yang berpangkalan di Georgetown itu didapati membangunkan beberapa harta tanah di sekitar Pulau Pinang, termasuk di Bandar Kepala Batas dan Tanjung Bungah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kedua-duanya mereka dijangka akan dibawa ke mahkmah majistret Georgetown esok untuk direman.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS